Pengguna terkejut gajah muncul di LPT2

KEMAMAN - Seorang pengguna lebuh raya dikejutkan dengan kemunculan seekor gajah di tepi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini pada Ahad.
Kejadian itu dipercayai berlaku di Kilometer 272.5, berhampiran susur keluar Tol Cheneh di sini.
Menerusi perkongsian video berdurasi 18 saat daripada akaun TikTok dikenali @izak.82 itu memaparkan seekor gajah dewasa bersaiz besar dilihat berada di tepi lebuh raya tersebut.
Menurut pengguna TikTok itu, gajah tersebut datang dari arah ladang sawit berhampiran cuba untuk melintas lebuh raya berkenaan selepas dipercayai terpisah daripada kawanannya.
"Oh besarnya! Dia (gajah) masuk kawasan dia balik tu... dia nak lintas jalan tadi tu tapi tak berani," ujarnya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati orang ramai memberikan pelbagai reaksi terhadap hantaran tersebut.
"Gajah tu tak kacau orang... tak apalah... doa yang baik-baik.
"Insya-ALLAH selamat dalam perjalanan," tulis Hasmah Ali di ruangan komen.
Sementara itu, Pengarah Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)Terengganu ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut selain akan menyiasat serta memantau lokasi berkenaan.
"Ada (terima laporan) dan ia masih dalam pemantauan pihak jabatan.
"Kalau perlu kita akan tangkap dan pindah jika gajah tersebut gagal untuk masuk balik ke habitat semula jadi," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
