Trak tunda muatan tomato terbalik punca lebuh raya sesak

PENDANG - Sebuah trak tunda yang sedang menunda lori bermuatan kotak tomato hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 71.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada pagi Ahad, menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, trak tunda berkenaan dilaporkan membawa sebuah lori tanpa pemandu dari Changlun ke Selangor sebelum mengalami masalah mekanikal.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada kegagalan mekanikal apabila ‘pin lock’ di bahagian bawah kepala engsel lori yang ditunda tercabut.
“Keadaan itu menyebabkan trak tunda hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di sebelah kiri lebuh raya sebelum terbalik dan melintang jalan.
“Akibatnya, keseluruhan lorong hala selatan dari Pendang ke Gurun terhalang, menyebabkan aliran trafik terhenti,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Zulkifli Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Rodzuan Omar digerakkan ke lokasi kejadian.
“Trak tunda tersebut terbabas ke tali air di kiri jalan manakala lori yang membawa muatan buah tomato terbalik dan melintang lebuh raya.
“Anggota bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak serta memantau keadaan sehingga laluan kembali selamat digunakan,” katanya.
Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.02 tengah hari dan insiden itu menyebabkan kesesakan sepanjang beberapa kilometer apabila kotak tomato berselerak di atas lebuh raya, namun keadaan berjaya dikawal selepas kerja-kerja pembersihan selesai. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

