X

Kindly register in order to view this article
!

Sabah, Sarawak kingmaker sebenar

Suara dari Sabah dan Sarawak mampu menjadi kingmaker atau penentu siapakah yang mendapat sokongan paling banyak dalam usaha mereka membentuk kerajaan Persekutuan.
A
A

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) hanya mempunyai 19 kerusi Parlimen manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) pula hanya mempunyai sembilan kerusi. Pada kadar 12 peratus jumlahnya tidaklah begitu banyak berbanding 222 kerusi keseluruhannya di Dewan Rakyat.

Begitupun, suara 28 kerusi itu sangat mustahak tatkala Malaysia disajikan dengan kemelut politik yang dilihat masih berantakan melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan juga pihak yang cuba menggulingkannya.

Bersandarkan situasi semasa, tidak dapat dinafikan suara dari Sabah dan Sarawak mampu menjadi kingmaker atau penentu siapakah yang mendapat sokongan paling banyak dalam usaha mereka membentuk kerajaan Persekutuan.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim menyokong pendapat itu dan berpendapat kini parti-parti Borneo dilihat akan menjadi kuasa penentu dan menyifatkan GPS dan Warisan merupakan parti yang paling berpengaruh di sana.

“Mereka akan mencukupkan jumlah kerusi kepada mana-mana koalisi atau calon Perdana Menteri yang berminat untuk berunding. Paling berpengaruh sudah semestinya GPS dan Warisan.

“Kedua-duanya mempunyai kerusi yang secara relatifnya adalah cukup banyak untuk meningkatkan kuasa rundingan mereka. Mereka boleh berunding untuk beberapa perkara penting.

“Ia termasuklah seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua dari Borneo, tambahan peratusan royalti minyak, menunaikan semangat MA63 (Perjanjian 1963) dan lain-lain yang difikirkan sesuai,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tambah beliau, meskipun keadaan di peringkat Persekutuan masih samar-samar, namun Yusri menegaskan keadaan politik di Sabah dan Sarawak masih lagi dalam keadaan baik.

“Walau berlaku penjajaran semula gabungan parti-parti politik, Sarawak dan Sabah akan kekal diperintah oleh GPS dan Warisan,” katanya.

Lompat parti

Dalam pada itu, ketika ditanya kemungkinan berlakunya isu lompat parti di kedua-dua negeri tersebut, Yusri menyatakan semuanya bergantung kepada pakatan yang akan dibentuk di peringkat kerajaan Persekutuan.

“Itu bergantung kepada koalisi yang akan terbentuk nanti serta bergantung kepada koalisi mana yang akan membentuk kerajaan persekutuan. Sekiranya PH akan membentuk kerajaan, tidak akan berlaku lompat parti.

“Begitupun, jika PH gagal membentuk semula kerajaan, kebarangkalian yang bakal berlaku tidak boleh dijangka,” katanya.

Setakat kelmarin, GPS dan Warisan sudah menyatakan pendirian untuk menyokong penuh kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Namun, dengan 92 Ahli Parlimen PH sudah menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan semalam, PH hanya memerlukan 20 lagi sokongan untuk mendapat majoriti mudah.

Persoalannya adakah GPS dan Warisan akan beralih sokongan?

Dalam perkembangan sama, penganalisis politik, Dr Jeniri Amir dengan yakin menyatakan pendiriannya bahawa Sabah dan Sarawak adalah kingmaker dalam kemelut yang melanda arena politik negara kini.

“Sokongan padu daripada parti di Sabah dan Sarawak sangat penting apatah lagi kita dalam Persekutuan. Jadi suara Sabah dan Sarawak harus diambil kira dan diarus perdanakan,” katanya.

Berkongsi pandangan sama seperti Yusri, Jeniri menegaskan keputusan di peringkat nasional akan menentukan dan menjadi panduan buat parti politik di kedua-dua negeri berkenaan.

“Keputusan mereka akan ditentukan berdasarkan isyarat diberi oleh ketua parti masing-masing sama ada untuk terus mendokong kerajaan sedia ada atau menjajarkan semula kedudukan mereka untuk melakar satu landskap politik baharu.

“Apa pun keputusan mereka itu akan banyak bergantung kepada nasihat dan isyarat daripada pemimpin tertinggi parti,” jelasnya.

Tuntutan Sabah, Sarawak

Dalam pada itu, Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe menegaskan Sabah dan Sarawak memiliki kemampuan untuk menjadi penentu bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara pada ketika ini.

Jin Zhe yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata, kedua-dua negeri tersebut mempunyai bilangan kerusi mencukupi untuk menentukan siapa menjadi kerajaan Persekutuan.

“Situasi semasa tidak menampakkan mana-mana parti mempunyai majoriti mudah, oleh itu blok PH berkemungkinan boleh mengadakan rundingan bersama Sabah dan Sarawak demi mendapatkan sokongan membentuk kerajaan.

“Rakyat telah menyatakan sokongan kepada PH pada pilihan raya lalu dan PH menolak cadangan kerajaan uniti oleh Dr Mahathir kerana ia bukan mandat yang diberikan rakyat.

“Sekiranya rundingan diadakan maka Sabah dan Sarawak boleh menuntut lebih banyak kuasa dan peranan lebih besar berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ditanya tentang syarat-syarat yang yang mungkin dikemukakan dalam rundingan, Jin Zhe berkata, ia bergantung kepada siapa yang memegang kerusi terbesar dan mempunyai kuasa untuk berunding, dalam kes ini Warisan untuk Sabah dan GPS di Sarawak.

“Namun begitu, apa jua rundingan yang dibuat hasilnya pasti adalah untuk kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Bagi DAP semestinya kami mengharapkan sokongan Sabah dan Sarawak bagi membentuk kerajaan yang kukuh.

“Sabah masih stabil dari segi politik dan kerjasama antara parti-parti. Mesyuarat Kabinet juga masih berjalan lancar dengan dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Tiada masalah di Sabah kerana Warisan mempunyai pegangan majoriti selain memberi sokongan kepada Dr Mahathir. Kita tunggu siapa kerajaan seterusnya barulah kita dapat lihat sekiranya terdapat perubahan dalam senario politik di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Warisan Sabah, Datuk Junz Wong turut bersetuju bahawa keadaan di Sabah masih stabil dan semua urusan masih berjalan seperti biasa, tiada apa yang berubah.

Beliau yakin ketika beberapa negeri di Semenanjung bakal berlaku perubahan pentadbiran kerajaan negeri, kerajaan negeri Sabah bakal kekal bersama sehingga ke hujung penggal.

“Tentang kepimpinan baharu, kita serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan. Biar Seri Paduka Baginda menjalankan tugasnya dengan bijaksana,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus