Wanita dibayar gaji lebih rendah, jurang pendapatan semakin melebar antara jantina

(Gambar hiasan) Foto 123rf
(Gambar hiasan) Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Pendedahan data statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan wujudnya jurang gaji semakin melebar di antara lelaki dan wanita di negara ini.

Hal ini susulan golongan wanita dilaporkan menerima bayaran jauh lebih rendah daripada kaum lelaki meskipun bekerja dalam sektor sama.

Infografik gaji bulanan lelaki dan wanita dalam kategori pekerjaan sama pada 2023
Infografik gaji bulanan lelaki dan wanita dalam kategori pekerjaan sama pada 2023

Berdasarkan laporan pendapatan median bulanan pekerja Malaysia oleh DOSM, pekerja wanita menerima gaji median sebanyak RM2,464 sebulan pada 2023 berbanding RM2,675 bagi lelaki yang menunjukkan jurang sebanyak 7.9 peratus.

Lebih membimbangkan, walaupun terdapat ramai wanita dalam sektor profesional namun gaji mereka masih 19 peratus lebih rendah daripada rakan sejawat lelaki.

Tidak hanya itu, data laporan itu juga menunjukkan pekerja wanita yang menceburi bidang profesional seperti akauntan, doktor, peguam dan guru menerima gaji RM5,046 pada 2023.

Bagaimanapun, data menunjukkan jumlah itu masih 18.6 peratus lebih rendah berbanding kadar gaji diterima oleh lelaki dalam sektor sama.

Selain itu, Selangor dilapor mencatatkan jurang gaji tertinggi apabila wanita menerima 19.7 peratus sahaja diikuti Kuala Lumpur (15.5 peratus) dan Johor Bahru (9.6 peratus).

Pada masa sama, Kementerian Sumber Manusia difahamkan sedang memperketatkan penguatkuasaan undang-undang termasuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap majikan yang mengamalkan diskriminasi gaji berdasarkan jantina.

Artikel Berkaitan:

Laporan The Star turut mendedahkan kerajaan sedang merangka Dasar Tenaga Kerja dan Sumber Manusia Nasional bagi menangani isu berkaitan gaji dan kesaksamaan jantina dalam sektor pekerjaan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan sedang berusaha mengembangkan industri penjagaan kanak-kanak dan orang tua bagi membantu golongan tersebut kembali bekerja tanpa mengorbankan keseimbangan kehidupan dan pekerjaan.

“Perkara ini penting kerana tanggungjawab penjagaan anak-anak, golongan ibu bapa dan keluarga selalunya dipikul wanita, menyebabkan mereka sukar untuk maju dalam kerjaya.

“Saya juga berharap lebih ramai wanita terlibat dalam sektor politik atau kepemimpinan,” katanya.

Beliau turut menyeru majikan untuk menambah baik dasar sumber manusia agar wanita diberikan peluang yang sama dalam pembangunan kerjaya dan gaji lebih adil.

Infografik gaji bulanan lelaki dan wanita dalam kategori pekerjaan sama pada 2023:

1) Profesional: Wanita - RM5,046 | Lelaki - RM6,201

2) Pengurus: Wanita - RM5,044 | Lelaki - RM6,096

3) Pekerja sokongan pejabat: Wanita - RM2,320 | Lelaki - RM2,701

4) Juruteknik dan profesional bersekutu: Wanita - RM3,314 | Lelaki - RM2,484

5) Pekerja perkhidmatan dan jualan: Wanita - RM1,621 | Lelaki - RM2,045

6) Pekerja kraf dan perniagaan berkaitan: Wanita - RM1,529 | Lelaki - RM1,974

7) Pengendali loji serta pemasangan mesin: Wanita - RM1,795 | Lelaki - RM1,954

8) Pekerja pertanian mahir, perhutanan, ternakan dan perikanan: Wanita - RM1,542 | Lelaki - RM1,750

9) Pekerjaan asas: Wanita - RM1,529 | Lelaki - RM1,609

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!