Bayi berbungkus kain ditinggalkan di tepi jalan

Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui oleh orang awam di tepi jalan Kampung Keramat, Semporna pada Jumaat. Gambar hiasan
Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui oleh orang awam di tepi jalan Kampung Keramat, Semporna pada Jumaat. Gambar hiasan
A
A
A

SEMPORNA - Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui oleh orang awam dalam keadaan berbungkus dengan kain di tepi jalan Kampung Keramat di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, bayi yang masih bernyawa itu diletakkan di atas rumput sebelum diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, bayi malang itu telah dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Doktor yang merawat mengesahkan tiada sebarang kecederaan pada bayi tersebut, yang dianggarkan seberat 3.1 kilogram.

"Bayi itu kini ditempatkan di Hospital Semporna untuk pemantauan lanjut oleh doktor," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

"Orang ramai diminta untuk bekerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan penemuan bayi ini dengan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna di 089-782020 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafar Ismail, di talian 013-7557293," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!