KDEBWM bantu 69 anak yatim, asnaf buat persiapan raya

26 penghuni Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Ulin Nuha menerima duit raya dan baju raya baharu tajaan KDEBWM.
26 penghuni Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Ulin Nuha menerima duit raya dan baju raya baharu tajaan KDEBWM.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 69 anak yatim dan asnaf mengukir wajah ceria apabila masing-masing berpeluang membeli pakaian raya baharu di gedung tekstil terkenal, Jakel menerusi program Santun Kasih Lebaran 2025 anjuran KDEB Waste Management (KDEBWM).

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata, anak yatim dan asnaf yang berumur antara tujuh hingga 18 tahun itu terdiri daripada tiga pertubuhan kebajikan di sekitar Klang, Selangor.

Menurutnya, tiga pusat itu ialah Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Ulin Nuha yang menempatkan seramai 26 orang, Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah Malaysia (32 orang) serta Rumah Kebajikan Haneen Firdous (11 orang).

"Program ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami untuk meraikan dan memberikan keceriaan kepada anak-anak yatim dan asnaf menjelang Aidilfitri nanti dengan memberi mereka peluang membeli pakaian raya baharu.

"Mereka diberikan kebebasan untuk memilih baju Melayu dan baju kurung setiap seorang mengikut warna yang mereka gemari.

"Selain menaja pakaian raya, sumbangan duit raya turut diberikan kepada pelajar dan pengiring dengan jumlah keseluruhan peruntukan dalam program tersebut hampir RM15,000," katanya ketika ditemui di Jakel di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi dan tetamu lain.

Mengulas lanjut, Ahmad Rizal berkata, pihaknya akan meneruskan usaha kebajikan terutama sepanjang Ramadan ini termasuk penglibatan dalam program Iftar Ala Madinah di Kumpulan Karangkraf.

"Kami juga membuat perkongsian rezeki melalui program berbuka puasa Ala Madinah bersama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH program amal dan kebajikan seperti ini akan diteruskan serta diperluaskan lagi pada masa depan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

"Sebagai sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal pintar di Selangor yang menguruskan kutipan sisa domestik dan pembersihan awam, KDEBWM berharap inisiatif ini dapat memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!