Cuaca panas: Permintaan ais turut meningkat

ALOR SETAR - Cuaca panas melanda khususnya tiga daerah di Kedah menyebabkan permintaan terhadap ais meningkat terutamanya ketika berbuka puasa.
Pengurus syarikat Iqloo Ice Sdn Bhd, Ahmad Yusop Abdul Kadir berkata, tempahan ais naik sehingga 20 peratus disebabkan keadaan suhu yang semakin tinggi.
Beliau memaklumkan, permintaan terhadap ais sememangnya laris dan meningkat dengan ketara akibat cuaca panas lebih-lebih lagi memasuki bulan Ramadan berbanding hari biasa.
“Sejak beberapa hari lepas, tempahan ais kiub bertambah antara 17,000 hingga 18,000 beg sehari berbanding hanya sekitar 13,000 hingga 14,000 beg pada hari-hari biasa.
“Setiap satu beg mengandungi kira-kira 10 kilogram (kg) ais kuib untuk kegunaan pelanggan,” katanya.
Bagi Pengurus Chup Aiss Trading, Suzana Abdul Rahman, pihaknya juga mendapati berlaku peningkatan permintaan ais sejak kebelakangan ini.
“Sebelum ini, kita hanya terima permintaan sekitar 3,000 beg ais kiub dan sekarang naik kepada lebih 4,000 beg ais kiub sehari,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

