'Besar ertinya bagi kami'

JEMPOL- "Alhamdulillah, sumbangan ini sangat bererti bagi saya dan isteri. Dapatlah beli barang keperluan," kata peneroka Felda Pasoh 3, Shukor Yatim, selepas menerima sumbangan Inisiatif Keceriaan Warga Emas (IKWE).
Shukor, 72, antara 1,157 individu layak menerima sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM200 seorang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui.
Ujarnya, sumbangan tunai kepada mereka berusia 70 tahun ke atas ternyata memberi kelegaan kepada penerima ketika menyambut Ramadan terutamanya yang tidak mampu bekerja atas pelbagai faktor.

"Saya dan isteri penerima IKWE kali kedua selepas pertama kali menerimanya pada tahun lalu. Sumbangan ini boleh digunakan untuk membeli barang keperluan sepanjang Ramadan.
"Tahun ini, saya dan isteri tidak perlu keluar dari kampung untuk menerima sumbangan kerana penyerahan dilakukan di tanah rancangan ini," katanya ketika Majlis Penyerahan IKWE dan Iftar Ramadan di Masjid Kariah Felda Pasoh 3, pada Rabu.

Majlis penyerahan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Pasoh 3, Mohamed Mat Dom.

Seorang lagi penerima, Zaiton Yusof, 73, mengakui tidak ketinggalan mengisi borang IKWE sebaik dimaklumkan ada sumbangan daripada kerajaan negeri khusus buat warga emas.
"Ini kali kedua saya menerima sumbangan dan akan menggunakan wang ini dengan berhemah," katanya.
Sementara itu, Mohd Razi berkata, IKWE diharap membantu golongan warga emas ketika menyambut Ramadan dengan 909 penerima bakal menerima agihan sumbangan sebelum minggu ketiga Ramadan.
Katanya mereka yang bukan beragama Islam sudah menerima IKWE mengikut perayaan agama masing-masing.
"Kita harap lebih ramai warga emas berusia 70 tahun dan ke atas memohon sumbangan secara dalam talian. Semua kepimpinan setempat sudah diarah membantu warga emas berkelayakan untuk mengisi borang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
