Lega dapat sumbangan menjelang Ramadan

LIPIS - "Alhamdulillah, duit bantuan ini dapat la saya belikan keperluan raya untuk anak nanti," kata tukang cuci, Norazalina Awang, 40, dari Kampung Sungai Koyan di sini selepas menerima bantuan oleh Yayasan Pahang (YP).
Norazalina antara 556 penerima daripada 13 kampung yang menerima bantuan RM300 seorang sempena Penyampaian Sumbangan Ahlan Ramadan 2025 oleh YP bagi kawasan Jelai.
Sumbangan tersebut disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini pada Sabtu.

Menurut Norazalina, duit itu diterima bagi anaknya yang merupakan anak yatim dan lega kerana sumbangan tersebut dapat meringankan beban keluarga.
"Syukur dan terima kasih kepada Yayasan Pahang kerana memberikan sumbangan ini menjelang Ramadan," ujarnya.
Seorang lagi penerima, Yusof Mohd Nor, 67, dari Kampung Keledek pula berkata, dia pertama kali menerima sumbangan itu selepas menghidap penyakit kencing manis yang menyebabkan kehilangan kaki kirinya sejak lebih sebulan lalu.

"Sumbangan ini tepat pada masanya menjelang puasa dan sangat membantu saya dan isteri," jelasnya yang merupakan bekas pengawal keselamatan.
Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan, bantuan tersebut membabitkan jumlah RM166,800 kepada anak yatim, ibu tunggal dan pesakit terlantar di Jelai sempena Ramadan.
Beliau berkata, sebanyak RM250,000 juga diperuntukkan untuk diagihkan kepada 18 masjid dan 64 surau di kawasan Jelai dan Tanah Rata bagi mengimarahkan institusi berkenaan dengan pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan ini.
Katanya, setiap masjid di kawasan itu akan memperoleh sebanyak RM5,000 manakala surau RM2,500 sebagai dana tambahan untuk memakmurkan lagi bulan Ramadan.

“Selain peruntukan ini, kerajaan negeri juga turut menghulurkan sumbangan cek dan komputer riba kepada 38 penerima.
“Sumbangan ini merupakan amalan sejak dari dahulu lagi di negeri Pahang. Ia bukan sahaja mengimarahkan masjid dan surau dengan pelbagai program keagamaan tetapi juga membantu golongan kurang berkemampuan untuk menyambut bulan mulia ini,” ujarnya.
Hadir sama pada program itu, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif YP, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) berupa Projek Pembinaan Rumah Baiti Jannati bernilai RM100,000 setiap rumah yang diberikan kepada tiga penduduk di kawasan tersebut.
“Penyerahan sumbangan sempena Ahlan Ramadan kali ini sahaja sudah mencecah RM1.17 juta merangkumi daripada kerajaan negeri, Yayasan Pahang, TNB serta SPNB (Syarikat Perumahan Negara Bhd) iaitu pemberian Rumah Mesra Rakyat kepada 20 penerima.
“Diharap sumbangan ini dapat digunakan sebaiknya oleh penerima dan sempena menyambut Ramadan ini, saya ingin menasihatkan masyarakat beragama Islam untuk tidak mensia-siakan peluang merebut pahala dan elak dari melakukan perkara sia-sia,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

