Pecah pejabat ADUN, tukang cuci dipenjara 11 bulan

Tertuduh (kiri) diiringi anggota polis ketika dibawa ke mahkamah, pada Khamis.
Tertuduh (kiri) diiringi anggota polis ketika dibawa ke mahkamah, pada Khamis.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang tukang cuci dipenjara 11 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku salah mencuri wang berjumlah RM7,259 di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, pada Disember tahun lalu.

Majistret Mohamad Azlan Basri memerintahkan tertuduh, C Murli, 47, menjalani hukuman penjara lanjutan lagi dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memecah masuk Pejabat Pusat Khidmat ADUN Komtar dengan tujuan mencuri wang utiliti yang berada di dalam pejabat berkenaan.

Dia melakukan kesalahan itu pada 26 Disember 2024, jam 8.11 malam di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Komtar di sini.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 27 Disember 2024, pengadu yang bekerja di pusat khidmat berkenaan telah mendapati beg berisi wang tunai sebanyak RM7,259 untuk tujuan pembayaran utiliti yang disimpan dalam sebuah laci telah hilang.

Pengadu kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki telah memecah masuk pejabat berkenaan pada 26 Disember 2024, kira-kira jam 8.11 malam serta mencuri wang berkenaan.

Beberapa kesan cap jari turut ditemui di lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati ia sepadan dengan cap jari tertuduh selain terdapat kesan umpil pada laci tempat menyimpan wang yang dilapor hilang berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!