Tukang masak maut langgar belakang lori di lampu isyarat merah

NILAI - Tukang masak maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar lori yang berhenti di lampu isyarat merah di Taman Semarak di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan pada jam 7 malam itu membabitkan sebuah lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 49 tahun dan motosikal jenis Honda RS ditunggang mangsa iaitu lelaki berusia 35 tahun.
"Siasatan awal mendapati kedua-kedua kenderaan tersebut dari arah Nilai hendak menghala ke Mantin.

"Apabila sampai di tempat kejadian, lori telah berhenti di lampu isyarat kerana lampu berwarna merah, tiba-tiba datang motosikal dari arah belakang terus melanggar belakang lori tersebut di sebelah kanan," katanya pada Khamis.
Ujarnya, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
"Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai).
" Boleh juga menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Zakaria Mohamad Jais di talian 019-6990142," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
