Bangunan APM Baling terbakar

BALING - Sebuah bangunan milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling terbakar mengakibatkan kemusnahan sekitar 60 peratus dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, dua jentera dari BBP Baling dan BBP Pengkalan Hulu, Perak dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan 13 anggota serta dibantu pasukan polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
"Setibanya di lokasi, kebakaran dikesan berlaku pada bahagian hadapan bangunan APM dengan anggaran kemusnahan sebanyak 60 peratus," katanya.

Beliau berkata, tindakan awal pemadaman dilakukan dengan mengawal api di bahagian hadapan serta sisi kiri dan kanan bangunan bagi mengelakkan kebakaran merebak.
"Operasi pemadaman menggunakan tiga aliran dan tiga pancutan air dari tangki jentera bagi mengawal api sebelum kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.44 petang," jelasnya.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terjejas dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

