Jet pejuang FA-50 Filipina terhempas, dua juruterbang maut

Pesawat FA-50 Tentera Udara Filipina buatan Korea Selatan dirakam di Pangkalan Udara Clark, Pampanga pada 28 November 2015. AFP
Pesawat FA-50 Tentera Udara Filipina buatan Korea Selatan dirakam di Pangkalan Udara Clark, Pampanga pada 28 November 2015. AFP
A
A
A

MANILA - Pasukan penyelamat Filipina menemukan bangkai pesawat pejuang FA-50 yang hilang serta mayat dua juruterbangnya di kawasan pergunungan di selatan negara itu, semalam.

Pesawat itu hilang ketika dalam misi memberikan sokongan udara kepada tentera yang bertempur dengan pemberontak komunis di utara Mindanao.

Komander Komando Mindanao Timur, Leftenan Jeneral Luis Rex Bergante berkata, kedua-dua mayat ditemui di dalam pesawat yang remuk teruk.

"Terdapat cubaan membuka payung terjun dan menyelamatkan diri, tetapi pesawat itu merempuh pokok-pokok di gunung," katanya.

Bangkai pesawat ditemukan di Gunung Kalatungan, Bukidnon berketinggian 2,880 meter.

Pihak tentera kini memberi keutamaan kepada usaha membawa turun mayat juruterbang dan punca nahas masih dalam siasatan.

Misi mencari ditangguhkan semalaman kerana kawasan itu dipercayai didiami kumpulan pemberontak Tentera Rakyat Baharu (NPA), yang masih aktif meskipun jumlah anggota mereka kini kurang daripada 2,000 orang.

Pesawat FA-50 itu berlepas dari Pangkalan Udara Mactan–Benito Ebuen di Cebu dan insiden ini merupakan kejadian besar pertama melibatkan skuadron FA-50 Filipina.

Pesawat jenis itu digunakan dalam latihan ketenteraan di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian antara Filipina dan China.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Filipina dilaporkan sedang mempertimbangkan pembelian 12 lagi unit FA-50, selepas memperoleh 12 pesawat buatan Korea Selatan sejak sedekad lalu.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa insiden nahas pesawat tentera telah meragut nyawa juruterbang, termasuk kemalangan helikopter Robinson R22 pada April lalu serta nahas pesawat Marchetti SF260 pada Januari 2023. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!