Pemilihan PKR: Saifuddin masih berteka-teki

KUALA LANGAT - Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail belum membuat keputusan untuk bertanding dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei depan.
Menurut beliau, keputusan bertanding atau sebaliknya akan dimaklumkan kelak.
“Belum lagi setakat ini. Jika ada nanti, saya akan membuat satu sidang media khas,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kilang memproses sampah elektronik (e-waste) haram di Telok Panglima Garang di sini pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan; dan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
Sebagai rekod, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri pernah bertanding jawatan nombor dua PKR pada pemilihan tahun 2022 namun tewas kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin memaklumkan, PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.
Cadangan itu katanya, berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini.
Rentetan itu, beberapa pemimpin PKR menyuarakan berpandangan bahawa dua jawatan utama itu harus dipertandingkan bagi menghidupkan demokrasi dalam parti.
Jawatan Presiden PKR ketika ini disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!