'Anak sudah tiada ketika saya mahu berikan susu' - Isteri Baddrol Bakhtiar
SUNGAI PETANI - Anak bongsu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar disedari meninggal dunia ketika mahu diberi susu sekitar jam 3 pagi Rabu.
Isteri Baddrol, Nur Izyan Mustafa Khalid, 37, berkata, hanya menyedari perubahan pada anak lelaki tunggalnya itu ketika dia mahu memberinya susu melalui tiub khas.
"Saya bangun nak beri susu kepada Muhammad Darwisy, 14 bulan, sebab rutin kena beri susu tiga jam sekali, masa nak bagi susu tu tengok macam dah lain bila pegang tangan dia.
"Saya kejutkan Bad (Baddrol), lepas periksa keadaan anak, dia kata bersabarlah dan minta hubungi ambulans," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani pada Rabu.

Jelas Nur Izyan, Muhammad Darwisy yang dilahirkan tidak cukup bulan menghadapi masalah berkaitan jantung dan paru-paru sejak kecil.
"Kali terakhir bagi susu sekitar jam 1 lebih, dia ok lagi...tak sangka dia pergi ketika kita semua sedang berpuasa di bulan Ramadan," jelasnya.
Katanya, biarpun anaknya itu memerlukan penjagaan ekslusif dan menggunakan alat bantuan pernafasan setiap masa, namun Muhammad Darwisy seorang yang mudah dijaga.
Baddrol Bakhtiar yang juga merupakan bekas pemain bola sepak profesional berkata, kematian anaknya disahkan pasukan kesihatan yang tiba di rumah mereka di sini lebih kurang jam 3.15 pagi Rabu.
"Kami call ambulans dan bila sampai mereka sahkan anak dah tiada," katanya.

Jenazah Muhammad Darwisy kemudian dibawa ke HSAH untuk proses selanjutnya, di mana urusan mandi dan kapan selesai kira-kira jam 9.45 pagi sebelum dibawa ke Masjid Al-Muttaqin Taman Ria untuk disembahyangkan.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa Ria.
Baddrol dan isteri mempunyai tiga lagi anak perempuan iaitu Dhiya Delisha, 9, Dhiya Daniya, 4, dan kembar Muhammad Darwisy, Dhiya Dinara, 14 bulan.
Baddrol yang sebelum ini merupakan bekas ahli skuad Malaysia B20, Malaysia B23 dan pasukan kebangsaan serta bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman FC.
Beliau menamatkan kerjaya bola sepaknya sebagai kapten Pasukan Sabah FC sebelum menceburi bidang politik dan memenangi kerusi DUN Gurun ketika bertanding pada Pilihan Raya Negeri Kedah ke-15 pada 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

