Kumpulan Azmin sokong perdamaian dibuat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyokong perdamaian atau rekonsiliasi nasional dibuat untuk mengendurkan perebutan kuasa antara parti politik sekarang.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, rekonsiliasi nasional akan terlaksana di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama dukungan semua pihak yang mahukan Malaysia stabil dan terus maju.

"Kami mengulangi sokongan penuh terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sepenggal penuh untuk melaksanakan rekonsiliasi nasional ini.

"Dalam keadaan negara sekarang, menghadapi tekanan penguncupan ekonomi dunia ke atas ekonomi domestik dan cabaran genting daripada situasi semasa wabak penyakit koronavirus 2019 (Covid-19), kita mesti bersatu dan memberi sokongan penuh kepada pimpinan Dr Mahathir dengan mengenepikan politik sempit serta menjurus kepada perpaduan nasional yang berpaksikan aspirasi rakyat," kata mereka dalam kenyataan media hari ini.

Kumpulan itu terdiri daripada Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Kumpulan itu bertindak keluar PKR kelmarin kerana mendakwa mahu menggagalkan konspirasi menjatuhkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Menurut kenyataan itu, rekonsiliasi nasional itu akan memungkinkan penggemblengan tenaga untuk menjayakan matlamat bersama dan memupuk kebaikan yang lebih besar untuk negara.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa mereka pendukung hasrat rekonsiliasi nasional yang menuntut setiap ahli Dewan Rakyat memberikan keutamaan kepada aspirasi rakyat dan agenda nasional.

Artikel Berkaitan:

Kata mereka, untuk memenuhi aspirasi itu, ahli politik perlu bangkit meninggalkan politik kepartian yang sempit dan menjadikan aspirasi rakyat mengatasi kepentingan sempit kelompok.

"Setelah rakyat bangkit menumpaskan kleptokrasi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), mereka mahukan sebuah kerajaan yang stabil. Kerajaan yang memberikan tumpuan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

"Memulihkan ekonomi, menjana pertumbuhan, mencipta pekerjaan, melaksana dasar-dasar agar kemakmuran negara dikongsi bersama tanpa mengira kaum dan wilayah, bukankah ini aspirasi rakyat?" soal mereka.

Dalam masa sama, mereka turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang kekal tenang memerhatikan perkembangan politik yang berlaku dalam negara.

Kata mereka, rakyat menunjukkan kematangannya dalam mengharungi arus perkembangannya.

"Meskipun anda mengikuti peristiwa ini dengan teliti dan ghairah melalui media konvensional dan media sosial, anda terus tekun menjalankan tanggungjawab iaitu terus ke pejabat, ke kilang, ke ladang dan ke laut seperti biasa.

"Kami amat terkesan dengan sikap berimbang dan saksama rakyat Malaysia. Kami merasai denyut nadi kehidupan anda. Aspirasi anda akan kami penuhi," katanya.