'Saya tak boleh panik, kena kawal emosi'

Muhammad Amir Fawwaz menjadi imam solat tarawih di sebuah masjid di Karak. Gambar kecil: Muhammad Amir Fawwaz
Muhammad Amir Fawwaz menjadi imam solat tarawih di sebuah masjid di Karak. Gambar kecil: Muhammad Amir Fawwaz
A
A
A

KUANTAN - Terlupa bacaan ketika solat tarawih, dada berdegup kencang apabila jemaah di belakang menanti, namun sebagai imam, panik bukan pilihan.

Itulah situasi yang pernah dialami oleh Muhammad Amir Fawwaz Mohd Rizzal, 22, ketika mengimamkan solat tarawih di sebuah masjid sebelum ini.

Menurutnya, pengalaman itu cukup mencabar kerana sebagai imam, dia perlu mengawal emosi dan memastikan solat berjalan lancar.

“Pernah sekali saya terlupa bacaan, saya berhenti sekejap untuk cuba ingat semula, tapi masih tak dapat. Jadi saya terus rukuk. Selepas bangun, barulah saya ulang kembali ayat yang terlupa.

“Saya tak boleh panik. Kalau imam panik, jemaah di belakang pun akan gelisah,” katanya ketika ditemui di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas), di sini, pada Rabu.

Lebih istimewa, anak sulung daripada empat beradik itu kini diberi kepercayaan lebih besar apabila terpilih sebagai imam tarawih di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan, sepanjang Ramadan ini.

Muhammad Amir Fawwaz melihatnya sebagai peluang untuk terus belajar dan memperbaiki diri.

“Ini kali pertama saya bertugas di Masjid Negeri. Bila dapat tawaran, memang saya rasa gementar. Pada masa sama, saya bersyukur kerana diberi peluang besar ini.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak pengurusan masjid kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin jemaah dalam solat tarawih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Amir kini menuntut dalam Diploma Pengurusan Muamalat di Unipsas.

Menyedari tanggungjawab sebagai imam bukan sekadar membaca ayat suci al-Quran, Muhammad Amir Fawwaz berusaha memastikan hafalannya sentiasa mantap.

Menurutnya, cabaran utama mengimamkan solat tarawih adalah memastikan bacaan yang lancar serta menjaga tajwid dan fasahah.

“Sebagai imam, saya kena pastikan hafalan kuat. Bacaannya mesti lancar, tajwid betul dan sebutan jelas.

“Saya juga perlu melatih diri untuk lebih yakin kerana saya bukan hanya membaca, tetapi juga memimpin jemaah dalam solat,” ujarnya.

Pemuda ini memberitahu, kali pertama dia mengimamkan solat tarawih adalah ketika usianya 14 tahun ketika menuntut di Maahad Tahfiz al-Quran Pengkalan Damar.

Sejak itu, Muhammad Amir Fawwaz berkata, dia semakin biasa memimpin solat di beberapa masjid sekitar Kuantan, Pekan, dan Karak sebelum akhirnya diberi kepercayaan mengimamkan solat di masjid utama negeri.

Menjawab soal bayaran sebagai imam tarawih, Muhammad Amir Fawwaz berkata, jumlahnya berbeza mengikut masjid dan pengalaman seseorang imam.

“Dulu, ada masjid yang menetapkan bayaran secara bulanan atau mengikut jumlah malam bertugas.

“Sekarang kebanyakan masjid menggunakan sistem giliran, jadi bayaran juga berbeza-beza. Biasanya, ia bergantung kepada pengalaman dan kadar yang ditetapkan pihak masjid,” jelasnya.

Namun, baginya, bayaran bukan keutamaan, sebaliknya pengalaman dan peluang mengimamkan solat di masjid utama negeri adalah sesuatu yang lebih bernilai.

“Saya terima sahaja apa yang diberikan. Ia lebih kepada satu penghormatan dan peluang untuk saya terus belajar serta memperbaiki bacaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!