91 KIR mangsa kebakaran di Likas terima RM1,300 - Hajiji

KOTA KINABALU - Sebanyak RM1,300 bantuan kewangan diberikan kepada 91 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Cempaka, Likas, di sini pada Isnin.
Bantuan kewangan itu melibatkan wang RM1,000 daripada kerajaan negeri manakala RM300 lagi dari Kumpulan Yayasan Sabah bagi membantu mereka yang terjejas dalam kejadian Sabtu lalu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, nasib mangsa kebakaran ini akan diberi perhatian terutama ketika umat Islam kini sedang menjalani ibadah Ramadan.
"Kita berusaha memikirkan nasib mangsa-mangsa kebakaran ini dan kita faham terutama pada bulan puasa ini, mengenai ketidakselesaan dan kesusahan mereka," katanya selepas melawat mangsa kebakaran tersebut di Dewan Serbaguna Likas, pada Isnin.
Menurut beliau lagi, selain bantuan kewangan, kerajaan turut memberi pelbagai bantuan lain untuk keperluan keluarga terjejas.
"Ini termasuk peralatan keperluan rumah seperti tong gas petroleum cecair (LPG) dan dapur gas dari Yayasan Kebajikan Sabah serta bakul makanan dari Kumpulan Yayasan Sabah," katanya.
Pada Sabtu lalu, seramai 511 mangsa daripada 91 keluarga kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka musnah terbakar.
Sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka untuk menempatkan mangsa kebakaran iaitu di PPS Likas yang menempatkan seramai 34 KIR membabitkan 200 penduduk manakala PPS Damai seramai 57 KIR melibatkan seramai 311 penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
