JKN Perak siasat budak perempuan maut selepas terima suntikan
IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang menyiasat dakwaan kematian seorang kanak-kanak perempuan akibat kecuaian ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Teluk Intan, minggu lalu.
Insiden menimpa kanak-kanak berusia tiga tahun itu dilaporkan sebuah portal berbahasa Inggeris, Jumaat lalu, apabila mangsa awalnya dibawa oleh ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan selesema.
Ketika dirawat, mangsa telah menerima beberapa suntikan sebelum disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, siasatan sedang dijalankan dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes tersebut.
"Berdasarkan kandungan media sosial itu, kejadian ini mempunyai elemen kecuaian perubatan. Siasatan belum lengkap lagi sudah terburu-buru meletakkan ia satu kecuaian.
"Bagaimanapun siasatan awal sudah dibuat, lebih baik tunggu hasil siasatan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Pengukuhan Pelaksanaan Penyajian Hidangan Sihat Semasa Mesyuarat Dalam Perkhidmatan awam selari dengan Kempen Perangi Gula negeri Perak 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Jelas Sivanesan, pihaknya dihubungi oleh bapa mangsa pada Ahad memaklumkan kejadian itu telah ditularkan oleh kakak ipar tanpa persetujuannya.
"Saya nasihatkan bapa mangsa untuk membuat aduan rasmi kepada hospital terlibat sekiranya tidak berpuas hati. Setakat ini tiada aduan diterima.
"Mereka tidak perlu bimbang kemungkinan pihak hospital cuba menutup kes itu berikutan siasatan dijalankan oleh pihak luar dan bukannya hospital berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
