Razman direhatkan daripada tugas Pesuruhjaya Pas Perak

Dalam satu perkongsian ucapan Selamat Menyambut Ramadan, tiada jawatan 'Pesuruhjaya Pas Perak' diletakkan sebagai kandungan poster.
Dalam satu perkongsian ucapan Selamat Menyambut Ramadan, tiada jawatan 'Pesuruhjaya Pas Perak' diletakkan sebagai kandungan poster.
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria dilapor telah direhatkan daripada tugas Pesuruhjaya Pas Perak.

Keputusan tersebut didakwa dibuat oleh kepimpinan Pas Pusat susulan beberapa isu yang melibatkan pemimpin itu termasuk kes terbaru mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).

Sinar Harian dimaklumkan, tugas Pesuruhjaya Pas negeri kini dipangku Naib Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad.

Dalam satu perkongsian ucapan Selamat Menyambut Ramadan, tiada jawatan 'Pesuruhjaya Pas Perak' diletakkan sebagai kandungan poster.

Poster tersebut memaparkan gambar Razman sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, ADUN Gunung Semanggol dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak.

Bagaimanapun sumber terdekat Pas Perak memaklumkan setakat ini, tiada sebarang makluman rasmi diterima berhubung perkara itu.

"Tiada apa-apa surat rasmi daripada Badan Perhubungan Pas mengenai tindakan (direhatkan) tersebut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin ketika dihubungi enggan mengulas lanjut perkara tersebut.

Pada Januari lalu, Razman mengemukakan permohonan maaf kepada Hannah selepas mengakui wujud kesalahan fakta dalam ucapannya yang mendakwa pemimpin DAP tersebut sebagai ‘anak YTL’.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Razman turut menyampaikan permohonan maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung fitnah mengaitkan Pengerusi DAP Perak itu dengan insiden mengibar bendera negara China di Teluk Intan.

Tindakan maaf juga dibuat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad susulan ucapannya dalam satu himpunan di Dataran Menara Condong di Teluk Intan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!