Selangor pertimbang beri 'duit raya' tambahan kepada penjawat awam negeri, ADUN

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2 tambahan kepada semua penjawat awam negeri termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu akan dibawa untuk dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang akan datang.

"MMKN nanti akan mempertimbangkan pemberian duit raya yang kita panggil BKK2 khas ini," katanya dalam ucapan penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Rabu.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025 tahun lepas, Amirudin mengumumkan penjawat awam negeri Selangor akan menerima BKK dua bulan gaji yang dibayar secara berperingkat.

Pemberian berkenaan meliputi pelbagai syarat ditetapkan dengan satu bulan dibayar pada 31 Disember 2024 dan sebulan lagi dilunaskan pada 25 Mac 2025 sempena sambutan Aidilfitri.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengucapkan terima kasih kepada semua ADUN yang terus komited dalam melontarkan soalan, pandangan serta menyertai perbahasan sepanjang persidangan DUN berlangsung.

"Terima kasih kepada Ahli Dewan Negeri kerana kita telah menamatkan semua pembentangan, perbahasan dan menjawab soalan yang dikemukan oleh Yang Berhormat.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya dengan tulus ikhlas juga mengucapkan selamat menyambut Ramadan Mubarak kepada semua yang menyambutnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Persidangan kali ini menyaksikan lima usul termasuk Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih dan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah dibahas serta diluluskan manakala 63 soalan yang dikemukan dijawab sepanjang tujuh hari bersidang bermula 18 Februari lepas.

Sidang DUN Selangor ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!