Tangan terputus cantum semula selepas pembedahan 10 jam

Pembedahan cantum tangan dilakukan 10 jam. Gambar hiasan
Pembedahan cantum tangan dilakukan 10 jam. Gambar hiasan
A
A
A

KOCHI- Seorang lelaki dari Angamaly, Kerala, kini sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan kompleks selama 10 jam bagi mencantumkan semula tangan kanannya yang terputus akibat kemalangan di tempat kerja.

Mangsa, Manoj, 50 tahun, menceritakan detik cemas itu dengan perasaan takut dan bimbang.

"Apa yang terlintas di fikiran saya hanyalah apa yang akan berlaku seterusnya. Saya rasa seperti hidup saya sudah berakhir," katanya.

Selepas kejadian, Manoj pada mulanya dibawa ke sebuah hospital swasta di Aluva sebelum dirujuk ke Aster Medcity di Kochi.

Dalam tempoh 45 minit selepas kemalangan berlaku, beliau telah dimasukkan ke jabatan kecemasan hospital berkenaan.

Pasukan perubatan bertindak pantas bagi menyelamatkan nyawa dan tangan mangsa.

Selepas proses penstabilan, pasukan yang diketuai Pakar Perunding Kanan dalam Pembedahan Plastik, Rekonstruktif dan Estetik segera memulakan pembedahan pada bahagian yang terputus.

Pembedahan dimulakan dengan proses pemasangan tulang diikuti prosedur penanaman semula.

Sepanjang pembedahan selama 10 jam itu, doktor berjaya mencantumkan semula tangan Manoj melalui pembedahan mikro vaskular yang melibatkan pembaikan arteri, vena, dan saraf.

Artikel Berkaitan:

Selepas 14 hari di hospital, Manoj dibenarkan pulang.

Kini, selepas tiga bulan menjalani fisioterapi intensif dan pemeriksaan berkala, beliau semakin pulih dan mula mendapatkan kembali fungsi tangannya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!