Presiden Ukraine, Trump perang mulut dalam pertemuan di Rumah Putih

Perdebatan sengit antara Presiden Ukrian Volodymyr Zelensky dengan Presiden AS Donald Trump.
Perdebatan sengit antara Presiden Ukrian Volodymyr Zelensky dengan Presiden AS Donald Trump.
A
A
A

WASHINGTON– Pertemuan antara Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Rumah Putih berakhir dengan ketegangan apabila kedua-dua pemimpin itu saling bertikam lidah secara terbuka mengenai konflik Ukraine-Rusia.

Pertemuan yang diadakan pada Jumaat itu bertujuan untuk memperkukuh sokongan AS terhadap Ukraine dalam menghadapi pencerobohan Rusia yang berlaku tiga tahun lalu.

Namun, suasana bertukar tegang apabila Trump secara terbuka mempersoalkan pendirian Zelensky dalam rundingan damai.

Dalam pertemuan tersebut, Trump menegaskan bahawa Ukraine perlu bersedia mencapai perdamaian jika mahu sokongan berterusan daripada AS.

Beliau turut menyatakan bahawa Ukraine tidak menunjukkan rasa terima kasih atas bantuan ketenteraan dan kewangan bernilai berbilion dolar yang telah diberikan sebelum ini.

“Saya telah memutuskan bahawa Presiden Zelensky tidak bersedia untuk perdamaian jika Amerika terlibat. Dia boleh kembali apabila dia benar-benar bersedia untuk berdamai,” katanya.

Susulan pertikaman lidah yang berlaku, Zelensky bertindak meninggalkan Rumah Putih lebih awal tanpa menandatangani perjanjian yang sepatutnya menubuhkan dana pelaburan bersama untuk membangunkan semula infrastuktur Ukraine.

Dalam sesi perbincangan yang berlangsung di Pejabat Oval, Trump menggesa Zelensky supaya lebih bersyukur dan menerima pendekatan diplomasi untuk menamatkan konflik terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Beliau turut memberi amaran kepada Zelensky bahawa sikap keras kepala Ukraine dalam menolak rundingan damai adalah tindakan berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Anda akan membuat perjanjian atau kami akan menarik diri. Jika kami menarik diri, anda akan berjuang habis-habisan, dan saya rasa ia tidak akan berjalan dengan baik,.

“Anda 'berjudi' dengan Perang Dunia Ketiga,” ujarnya.

Bagaimanapun, Zelensky membalas bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin, tidak boleh dipercayai dalam sebarang rundingan damai.

Sementara itu, Naib Presiden AS, JD Vance menyelar tindakan Zelensky yang dikatakan tidak menghormati AS apabila mengemukakan tuntutan secara terbuka di Rumah Putih- Agensi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!