5 maut, 20 cedera serangan pengebom berani mati di seminari Pakistan

ISLAMABAD - Lima orang maut dan 20 yang lain cedera apabila seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di dalam sebuah seminari di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan pada Jumaat, lapor Xinhua.
Kejadian itu berlaku di "Darul Uloom Haqqania" di daerah Nowshera, dengan penjaga seminari itu, Maulana Hamid ul Haq Haqqani, menjadi sasaran serangan berkenaan dan dia cedera parah dalam letupan tersebut, kata Ketua Polis Negara Zulfiqar Hameed kepada media tempatan.
Kejadian berlaku ketika seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya dalam kalangan jemaah yang sedang berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat, kata Abdul Rashid, pegawai polis daerah itu kepada media.
Bercakap kepada Xinhua, Bilal Faizi, jurucakap Rescue 1122 yang dikendalikan kerajaan, berkata mereka telah menghantar 20 orang yang cedera ke hospital dan kebanyakan daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.
Perintah kecemasan telah diisytiharkan di tiga hospital daerah itu, sementara pihak pentadbiran hospital di ibu negeri Peshawar juga diarahkan untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu setakat ini.
Kawasan berkenaan telah dikepung untuk siasatan. - Bernama/Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
