Mayat pekerja kapal ditemukan terapung dekat Masjid Kristal

KUALA TERENGGANU – Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam muara Sungai Terengganu pada Rabu lalu ditemukan terapung berhampiran Masjid Kristal, di sini kira-kira jam 9.34 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mayat berkenaan disahkan sebagai Ahmad Nasaruddin Muhamad, 34.
"Mayat ditemukan oleh seorang pekerja restoran sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini," katanya ketika dihubungi pemberita, malam Khamis.
Menurutnya, mayat dijumpai kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian mangsa terjatuh di MSET Pulau Duyong.
"Proses pengecaman mayat berkenaan telah dilakukan oleh bapa dan isteri mangsa di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
"Bedah siasat akan dijalankan esok (hari ini) sebelum jenazah dibawa pulang ke kampung halaman di Selangor," katanya.
Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan mangsa yang bekerja sebagai pekerja kapal dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di atas kapal di Pulau Duyong di sini kira-kira jam 10.25 pagi.
Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor itu sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan kapal di sebuah syarikat pembinaan dan baik pulih kapal di kawasan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
