Tukang kebun miliki 10 rekod jenayah dadah ditahan lagi di Gemencheh

SEREMBAN - Meskipun mempunyai 10 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, seorang tukang kebun tidak serik apabila ditahan lagi bagi kesalahan sama di Jalan Felda Bukit Rokan, Gemencheh pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, bertindak atas maklumat pengedaran dadah, suspek lelaki berusia 36 tahun itu ditahan jam 2 pagi.
"Hasil pemeriksaan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, telah menjumpai satu paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin anggaran berat 40 gram dan dua paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu anggaran berat 5.10 gram.
"Turut ditemui satu alat penimbang digital di dalam beg pinggang dipakai suspek dan nilai rampasan keseluruhan dadah dianggarkan RM 1,561,"katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
Tambahnya, semakan mendapat, suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kesalahan memiliki dan penyalahgunaan dadah serta satu rekod masih dikehendaki.
"Soal siasat awal didapati dadah tersebut akan diedarkan di sekitar kawasan Felda Bukit Rokan Utara, Felda Bukit Rokan Barat dan Felda Kepis di sini.
"Suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama lima hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

