Perak utamakan imam tempatan untuk solat tarawih

IPOH - Masjid dan surau di seluruh Perak dinasihat mengutamakan imam tempatan bagi untuk mengimamkan solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, bagaimanapun individu dari luar negara masih dibenarkan menjadi imam selepas mendapat perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini memang terdapat masjid yang membawa imam dari luar untuk mengimamkan solat sunat tarawih tetapi permohonan perlu dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebelum diangkat untuk mendapatkan perkenan Sultan Nazrin.
"Di Perak, imam perlu mendapat tauliah daripada Tuanku Sultan dan jika ada imam tiada tauliah mereka perlu memohon izin terlebih dahulu.
"Walau bagaimanapun, Sultan dan negeri menggalakkan imam tempatan. Kita mempunyai ramai pelajar tahfiz yang berkelayakan untuk menjadi imam tarawih. Tiba-tiba kita ambil imam dari luar jadi macam kita utamakan barang tempatan, sebaiknya kita utamakan mereka. Kita menghargai mereka," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Tahun 1446/2025 dan Peluncuran Awal Aplikasi MAIPk Bestari di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Mengenai penetapan jumlah rakaat solat sunat tarawih, Mohd Annuar berkata, menjadi amalan biasa masjid-masjid utama seperti Masjid Negeri dan Masjid Daerah ditetapkan melaksanakan 20 rakaat.
Menurutnya, bagi masjid-masjid lain, jumlah rakaat bagi solat sunat itu bergantung kepada pertimbangan jawatankuasa masjid dan ahli kariah masing-masing.
Sementara itu, Saarani yang memegang portfolio Agama Islam berkata, larangan penggunaan masjid dan surau untuk tujuan politik kekal bukan sahaja di bulan Ramadan tetapi sepanjang masa seperti yang dititahkan oleh Sultan Nazrin.
"Cuma, bulan Ramadan ini adalah bulan yang sepatutnya digunakan untuk menambah pahala. Jadi, kita imarahkan masjid dan surau dengan aktiviti yang boleh menambah pahala. Kalau ada tazkirah pun, ia mestilah tazkirah sebenar yang tidak merujuk kepada sebarang unsur politik.
"Jangan ada yang salah faham, seolah-olah kita melarang aktiviti keagamaan dalam masjid dan surau pada bulan Ramadan. Selama ini pun, ustaz-ustaz dan guru takmir yang mengajar dengan betul tidak pernah dihalang," katanya.
Terdahulu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim mengumumkan kadar baharu zakat fitrah melibatkan tiga kategori bayaran iaitu RM10, RM16 dan RM27.
Bayaran RM10 merupakan pilihan utama untuk individu yang menggunakan beras madani, beras super spesial tempatan dan beras putih super import berbanding hanya RM8 sebelum ini.
Menurutnya, bagi pilihan kedua dengan bayaran RM16 pula dikhususkan untuk pengguna beras rebusan, beras perang dan beras wangi kekal seperti sebelumnya manakala bayaran RM27 untuk pengguna beras Basmathi dan beras pulut meningkat berbanding RM24 seorang tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

