Jawatan parti bantu Kon Yeow tadbir Pulau Pinang lebih baik

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Keputusan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang akan datang adalah bagi membolehkannya memainkan peranan lebih berkesan dalam mentadbir negeri.

Kon Yeow berkata, jawatan dalam parti adalah penting untuknya terus memainkan peranan sebagai Ketua Menteri bersama kepimpinan parti.

“Sebagai Ketua Menteri, saya rasa jawatan dalam parti juga penting untuk saya terus memainkan peranan dan menjadi sebahagian daripada kepimpinan parti,” katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Khamis.

Kon Yeow baru-baru ini mengesahkan pencalonannya dalam pemilihan CEC DAP yang akan datang.

Pemilihan CEC akan diadakan semasa Kongres Kebangsaan ke-18 parti itu pada 16 Mac ini.

Kon Yeow bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada keputusannya untuk bertanding adalah kerana ingin mengintai jawatan di peringkat Persekutuan atau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Perkara pertama, saya harap saya masih hidup," katanya.

Menjelaskan lanjut, Kon Yeow berkata, beliau telah menjadi Naib Pengerusi Kebangsaan DAP sejak tahun 2004 dan merupakan ahli CEC sejak 2001.

"Saya telah giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membangunkan negeri sejak memegang jawatan Ketua Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Masih banyak cabaran yang perlu dihadapi dan itu akan menjadi fokus saya untuk tiga tahun akan datang. Saya mahu melakukan sebanyak mungkin dalam baki masa yang saya ada sebagai Ketua Menteri,” tambahnya.

Pulau Pinang mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama di negara ini yang membentangkan dan meluluskan usul had dua penggal bagi jawatan Ketua Menteri pada November 2018.

Ini adalah penggal kedua Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.

Kon Yeow bagaimanapun tidak bertanding dalam pemilihan DAP negeri pada tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!