Lebih 50 destinasi wajib singgah di Temerloh disenaraikan

TEMERLOH - Persatuan Pengusaha Pelancongan Temerloh (3PT) menyenaraikan lebih 50 lokasi wajib singgah di Temerloh untuk menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke daerah itu pada tahun ini.
Temerloh menduduki kedudukan ke-4 selepas Genting Highlands, Kuantan dan Cameron Highlands dari segi kehadiran pelancong ke Pahang iaitu 228,946 orang sehingga September tahun lepas.
Pengerusinya, Abdullah Ahmad Mahmud berkata, berdasarkan data dari Tourism Pahang, kedatangan pelancong ke daerah Temerloh selepas Covid-19 semakin pulih sejak tahun 2022.
"Adalah dijangkakan ia boleh mencecah lebih 305,000 orang mengatasi angka tertinggi tahun 2019 (sebelum Covid-19) iaitu 301,592 dan angka tahun sblmnya (2023),300,250 orang.

"Namun jika diambil kira kehadiran pengunjung harian (balik hari dan tidak bermalam), angka ini boleh menjadi lebih besar," katanya lagi.
Beliau berkata sedemikian selepas pertemuan di antara persatuan tersebut dan pengusaha produk pelancongan daerah ini di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh di sini baru-baru ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal bin Ramli yang juga penasihat untuk persatuan serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Daerah dan Jawatankuasa Usahawan Daerah.
Jelasnya, terdapat kira-kira 1,080 usahawan di Temerloh setakat ini yang sebahagiannya merupakan pemain industri berkaitan pelancongan dan ada yang tidak berkaitan secara langsung.
Ujar beliau, kesemua yang terlibat kebanyakannya sebelum ini bergerak sendiri atas kekuatan masing-masing, namun semuanya mempunyai potensi besar jika dikumpul dan dibangunkan dengan lebih sistematik serta bersepadu di bawah persatuan dengan sokongan padu pihak kerajaan.

“Persatuan telah mendapat sokongan yang baik dari pelbagai jabatan di peringkat negeri dan daerah, khususnya Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh selaku penyelaras.
"Di peringkat daerah, kita telah mengadakan tiga kali pertemuan pada tahun 2024 dan tiga kali pada tahun ini melibatkan usahawan, jabatan atau agensi kerajaan berkaitan dan pemain industri.
“Sokongan daripada kerajaan kepada pengusaha ini diharap dapat membantu menarik lebih ramai pengunjung ke Temerloh selepas ini," tambahnya.
Dalam pada itu, Abdullah memberitahu, persatuan telah menandatangani perjanjian persefahaman dalam kalangan pengusaha awal dan untuk tujuan ini beberapa pakej permulaan telah dibangunkan di tiga zon iaitu Temerloh, Kuala Krau dan Lanchang.
Katanya, beberapa pakej lain akan dibangunkan lagi dalam masa terdekat supaya akan dapat melibatkan lebih ramai pengusaha, sekali gus dapat memeriahkan Temerloh dengan industri pelancongan.
Jelasnya, penyertaan lebih ramai pengusaha, pasti akan mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong dalam dan luar negara.
"Kita berharap pengusaha produk berasaskan pelancongan mendaftarkan nama dengan persatuan kerana akan memberi banyak manfaat kepada mereka," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

