Calon tempatan lebih sesuai kemudi DUN Ayer Kuning - MIC

TAPAH - MIC menyokong penuh mana-mana calon yang akan dipilih UMNO untuk mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, pemilihan calon dalam kalangan anak jati tempatan dilihat lebih sesuai bagi mempertahankan kerusi itu.
"Kalau boleh kita hendak kurangkan penglibatan orang luar Tapah kerana penduduk di sini sensitif sedikit. Kemungkinan besar calon tempatan lebih sesuai tetapi kita serah kepada UMNO untuk pilih.
"Bagi MIC, sesiapa pun calon kita akan bekerjasama. Kita lihat tidak banyak konflik yang timbul dari segi memilih calon dan sebagainya," katanya kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat MIC Bahagian Tapah di sini pada malam Rabu.
Saravanan berkata, MIC akan bekerja keras menarik sokongan pengundi terutama dalam kalangan masyarakat India di enam pusat daerah mengundi (PDM) DUN tersebut.
"Meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengumumkan tarikh pilihan raya tetapi parti dalam Barisan Nasional (BN) telah melakukan persediaan melibatkan atur gerak jentera bagi menghadapi PRK ini.
"Dengan adanya sokongan dan kerjasama melalui Kerajaan Perpaduan yang mana Pakatan Harapan (PH) akan bersama Barisan Nasional (BN), saya yakin kita akan kekalkan kerusi DUN Ayer Kuning," katanya.
Pada Selasa, media melaporkan Pemuda UMNO tidak menolak kemungkinan untuk melobi calon mereka bagi PRK DUN Ayer Kuning, susulan kekosongan kerusi itu selepas kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, Sabtu lepas.
PRK DUN Ayer Kuning perlu diadakan memandangkan penggal DUN ke-15 Perak belum mencapai tempoh mandat tiga tahun.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia dan Gerakan Tanah Air.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
