Ramai individu tak dikenali datang rumah, keluarga Hud Aryan mohon henti spekulasi

TANAH MERAH - Keluarga kanak-kanak berusia 19 bulan yang ditemukan meninggal dunia selepas tiga hari hilang di Kampung Aira Kuala Tiga di sini tidak mahu orang ramai membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu.
Ibu saudaranya, Azean Suhailey Ramley, 42, berkata, ramai pemilik akaun di beberapa platform media sosial seolah-olah mengambil kesempatan menaikkan 'view' dengan kejadian itu.
Menurutnya, sebelum ini ramai individu yang tidak dikenali memasuki sekitar kawasan kediaman mereka.
"Saya merayu jangan buat sebarang spekulasi dan berkongsi sebarang gambar kerana ada yang tidak benar," katanya.
Ibu tiga anak itu juga memberitahu, pada hari kedua kehilangan Hud Aryan ramai individu datang ke kawasan rumahnya hanya semata-mata untuk membuat 'content' di media sosial mereka.
"Jangan ambil kesempatan...malah ada pemilik akaun media sosial mencampur-adukkan gambar lain yang tidak sepatutnya sehingga menimbulkan fitnah," ujarnya lagi.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Mohd Haki Hasbullah turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang boleh mengaibkan ahli keluarga mangsa.
"Jangan sebarkan sebarang berita yang boleh mengelirukan dan mengaibkan keluarga mangsa," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
