Geran pembangunan Mara dalam komitmen dilunaskan

SHAH ALAM - Kesemua geran pembangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk pendidikan sudah mempunyai komitmen untuk dibelanjakan.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, komitmen yang diberikan itu merujuk kepada geran-geran yang belum dilunaskan, seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Menurutnya, apabila geran tersebut sudah terikat pada komitmen berkenaan, wang tersebut akan dimasukkan dalam akaun yang tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.
“Contohnya penajaan pelajar ke luar negara. Apabila satu kontrak dimeterai untuk membiayai pelajar ke luar negara selama tiga tahun, maka wang tersebut akan dimasukkan dalam akaun yang tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.
“Ini kerana wang-wang tersebut akan dibayar kepada pelajar mengikut tahun dan semester bagi melunaskan yuran dan kos sara hidup.
“Komitmen seperti inilah yang dimaksudkan belum dilunaskan,” katanya kepada Sinar Harian.
Asyraf Wajdi menegaskan, kebanyakan geran tersebut masih dalam komitmen untuk dilunaskan.
Pada Isnin, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025, Mara antara lima daripada 147 agensi Persekutuan yang mempunyai baki geran pembangunan tertinggi bagi tahun 2023.
Laporan tersebut memaklumkan, Mara memiliki baki geran penganjuran pelajaran, usahawan dan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan RMK12 yang sudah mempunyai komitmen tetapi belum dilunaskan.
Selain itu, terdapat juga lebihan baki geran projek yang telah selesai, batal atau tangguh yang sedang dalam permohonan kelulusan kerajaan Persekutuan sama ada dipulangkan semula atau kegunaan tujuan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

