Hilang ketika Maghrib, keluarga percaya Hud Aryan masih selamat

TANAH MERAH - Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi yang dikhuatiri hilang sejak Maghrib pada Isnin dipercayai masih selamat dan berada di belakang rumah neneknya di Kampung Aira Kuala Tiga di sini.
Menurut ibu saudaranya, Azean Irdawaty Ramley, 44, perkara tersebut dimaklumkan oleh beberapa orang ustaz yang datang ke rumah untuk membantu operasi mencari kanak-kanak berkenaan.
"Kesemua ustaz memberitahu perkara yang sama iaitu Hud Aryan selamat dan berada di belakang rumah ibu kami.
"Kawasan kediaman kami terletak berhampiran hutan tebal serta kebun getah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurut Azean Irdawaty, Hud Aryan merupakan anak pertama adiknya, Azean Nur Atikah, 34, serta suami, Mohd Hafifi Saidi, 34, selepas tujuh tahun menanti cahaya mata.
Ujarnya, Azean Nur Atikah pernah mengalami keguguran sebanyak lima kali sebelum berjaya melahirkan Hud Aryan.

"Kejadian ini sangat memberikan kesan kepada mereka berdua, kerana ini anak lelaki tunggal dan sangat disayangi," katanya.
Mengimbas semula kejadian itu, dia memberitahu ia berlaku kira-kira jam 7 malam di mana suasana ketika itu hujan renyai-renyai.
Dia memberitahu, Azean Nur Atikah baharu selesai menyuapkan makanan kepada Hud Aryan dan bangun ke dapur untuk mencuci tangan serta pinggan.
"Semasa kejadian itu ibu saudara kami ada datang ke rumah dan dia dikatakan terlupa untuk menutup pintu hadapan. Tidak sampai 10 minit adik memberitahu ibu saudara ada bertanyakan tentang Hud Aryan selepas tidak melihat kelibatnya.
"Dari situlah keluarga kami sedar Hud Aryan hilang dan sehingga sekarang masih gagal ditemukan. Kami berharap orang ramai dapat sama-sama berdoa supaya Hud Aryan berjaya ditemukan dengan selamat," katanya.
Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dikhuatiri hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini pada Isnin.
Difahamkan semasa kejadian, Hud Aryan berada di rumah neneknya yang terletak kira-kira 90 meter dari anak sungai sebelum disedari hilang oleh ahli keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

