Pelancong Republik Czech conteng dinding bangunan di Mersing ditahan

MERSING – Seorang pelancong warga Republik Czech ditahan kerana menconteng dinding beberapa bangunan di sekitar bandar ini pada Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.56 petang.
"Berdasarkan maklumat risikan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis berjaya mengesan serta menahan lelaki warga asing berusia 32 tahun itu pada jam 3.15 petang hari yang sama.
"Suspek memasuki negara ini sebagai pelancong dan tidak mempunyai sebarang masalah mental atau rekod penyalahgunaan dadah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, Mahkamah Majistret Kota Tinggi membenarkan suspek direman selama empat hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan.
"Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan," ujarnya.
Sebelum itu tular beberapa gambar menunjukkan keadaan dinding bangunan yang diconteng di Mersing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

