Edar kurma semarakkan semangat Ramadan

GEORGE TOWN - Sebanyak 200 beg kurma diedarkan oleh Masjid Jamek Al-Munawwar di sini setiap kali menjelang Ramadan dalam usaha menyemarakkan semangat Ramadan, sekali gus mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penduduk.
Pengerusinya, Syed Abdul Kadir Syed Abdullah Idid berkata, program tahunan itu akan dimulakan pada Selasa selepas solat Asar dengan edaran buah kurma ke setiap rumah penduduk Islam di sekitar kariah tersebut.
“Program ini telah dianjurkan selama lima tahun berturut-turut dan kami bersyukur dapat meneruskannya lagi tahun ini.
“Selain simbolik ketibaan Ramadan, program ini juga menjadi platform untuk ahli jawatankuasa masjid bertemu penduduk serta mengajak mereka hadir ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu tambahnya, pihak masjid turut menyediakan bubur kanji dan air halia untuk diagihkan kepada orang ramai pada setiap hari sebagai juadah berbuka puasa.
“Sebanyak 350 pek bubur kanji disediakan pada setiap hari bagi memastikan lebih ramai dapat menikmatinya.
"Tidak ketinggalan, juadah berbuka puasa turut disediakan untuk jemaah dengan anggaran kehadiran kira-kira 150 orang setiap hari.
“Kami ingin memastikan masjid bukan sahaja menjadi tempat beribadah malah pusat kebajikan yang menyantuni keperluan masyarakat, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

