Lelaki Bangladesh maut dirempuh lori

MUAR - Seorang lelaki warga Bangladesh maut dipercayai akibat dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Jalan Muar-Yong Peng, Bakri, di sini, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam sekitar jam 6.51 pagi.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 26 tahun, sedang melintas jalan apabila dilanggar lori berkenaan.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di seluruh badan dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi," katanya dalam satu kenyataan.
Polis kini giat mengesan pemandu lori terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis terdekat.
Orang ramai juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika melintas jalan dan sentiasa memandu dengan cermat demi menjaga keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
