Sumber air kurang, pesawah terpaksa guna 'air buangan'

BESUT - Hampir 500 petani di bawah Skim Pengairan Pelagat di sini mendakwa sawah diusahakan terjejas akibat masalah kekurangan bekalan air yang berlarutan sejak 15 tahun lalu.
Seorang petani, Abdur Rahman Husni Ismail, 35, berkata, keadaan dialami semakin buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, masalah itu melibatkan lebih 500 hektar sawah melibatkan lapan kampung iaitu Kampung Padang Landak, Padang Luas, Gong Penaga, Pengkalan Setor, Tok Has, Dengir, Beris Pok Abu dan Gong Lapan.
"Mereka yang tinggal jauh dari sumber air utama, iaitu rumah pam Pelagat terpaksa menggunakan 'air buangan' dari sawah di bahagian atas atau bergantung kepada air hujan untuk mengairi sawah.
"Selain itu, kami terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli pam air kerana jumlah pam yang dibekalkan pihak berkenaan tidak mencukupi.
"Saya sendiri membelanjakan kira-kira RM2,400 untuk membeli pam sebagai inisiatif bagi mengelakkan kerugian sekiranya padi mati akibat kekurangan air," katanya ketika ditemui di Kampung Air Terjun, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, masalah itu menjadi lebih kritikal ketika musim panas kerana bekalan air yang tidak mencukupi menyebabkan pokok padi terbantut dan menjejaskan hasil tuaian serta kualiti padi.
Seorang lagi petani, Muhamad Nasrullah Mohd Nawi, 29, pula berharap pihak berwajib mengambil perhatian terhadap masalah yang dihadapi petani di kawasan itu dan segera mencari penyelesaian lebih berkesan.
"Kitaran padi di sini dijalankan dua kali setahun dan kami bimbang masalah sama akan berulang apabila musim penanaman pertama bermula Mac ini.
"Jadi, kami berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah ini, termasuk membina telaga tiub dan menambah lebih banyak pam air untuk menampung keperluan petani," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
