Notis kekosongan DUN Ayer Kuning sudah dihantar ke SPR

IPOH - Notis Pemakluman Kekosongan Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah diserahkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin.
Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memandangkan tempoh mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) itu adalah 60 hari daripada notis yang dikeluarkan.
"Kebetulan minggu depan telah puasa lepas tu kita raya, jadi kami akan berbincang dengan kepimpinan sebelum SPR mengadakan mesyuarat untuk menentukan hari penamaan calon dan hari pengundian.

"Secara kebetulan DUN Perak juga akan mengadakan sidangnya pada 15 hingga 19 April depan, jadi kita minta SPR memberikan pandangan dan keputusan tertakluk kepada perbincangan yang akan diadakan," katanya ketika ditemui pemberita di Desa Seri Ampang di sini pada Selasa.
Terdahulu Ahmad Zahid menziarahi keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia akibat serangan jantung, Sabtu lalu.
Ahmad Zahid berkata, BN akan meletakkan calon di kerusi tersebut seperti mana dengan persefahaman yang disepakati dalam kerajaan Madani.

"Perjanjian dan persefahaman kita dengan parti-parti dalam kerajaan Madani, mana-mana kerusi yang dikosongkan atau menjadi kosong, parti yang memegang kerusi itu akan diberikan semula peluang bertanding.
"Dari segi gerak kerja itu, saya serahkan kepada menteri besar dan jawatankuasa BN negeri serta perhubungan UMNO negeri untuk menentukannya," katanya.
Ishsam, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang, Sabtu.
Sehubungan dengan itu, PRK DUN Ayer Kuning perlu diadakan memandangkan penggal DUN ke-15 Perak belum mencapai tempoh mandat tiga tahun.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon BN memenangi kerusi DUN N48 Ayer Kuning.
Beliau yang juga Pengerusi BN Parlimen Tapah dan Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
