UMNO Perak hantar notis kekosongan DUN Ayer Kuning kepada Speaker

Saarani. Foto Bernama
Saarani. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - UMNO Perak sudah mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, Sabtu lepas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata notis pemakluman itu dihantar oleh Setiausaha UMNO Perak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah kepada Speaker DUN, pada Isnin.

"Saya juga dimaklumkan Speaker akan menghantar notis kekosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemungkinan esok,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2025 di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.

Ishsam, 59, meninggal dunia disebabkan serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu.

Sehubungan dengan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning perlu diadakan memandangkan penggal DUN ke-15 Perak belum mencapai tempoh mandat tiga tahun.

Ishsam yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018 memenangi DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi melalui pertembungan lima penjuru. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!