15 rakyat Malaysia dipaksa jadi ‘scammer'

KUALA LUMPUR - Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini mendapati seramai 15 rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Myanmar dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ bagi pelaburan kripto, bitcoin dan ‘love scam’.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua individu terdiri daripada 12 lelaki serta tiga wanita berusia antara 21 hingga 45 tahun turut dipaksa menjadi juruteknik komputer dan telefon bimbit bagi melancarkan urusan aktiviti penipuan terbabit.
"Kesemua mereka didapati berada di Myanmar sejak 2023 dan 2024 selepas terpedaya dengan tawaran kerja di media sosial.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 (Akta 670)," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Razarudin berkata, polis telah selesai merakam keterangan 15 individu itu.
"Mereka kini diserahkan kepada keluarga masing-masing,” katanya.
Menurutnya, setakat ini kesemua mereka memberikan kerjasama sepanjang proses rakaman percakapan.
“Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan juga mendapati tiada sebarang kesan kecederaan yang berlaku kepada kesemua mangsa.
“Hasil semakan daripada pihak Jabatan Imigresen Malaysia mendapati kesemua pergerakan keluar mangsa adalah sah dengan melalui jalan yang diwartakan,” katanya.
Pada Isnin, media melaporkan polis akan mengambil keterangan seramai 15 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar selepas tiba di tanah air kira-kira jam 2.30 petang melalui Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Kementerian Luar dilaporkan berkata, mereka adalah antara 261 mangsa diselamatkan daripada sindiket penipuan itu dan diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari lalu.
Media sebelum ini melaporkan 261 mangsa diselamatkan pihak berkuasa Myanmar di bandar sempadan KK Park dan Shwe Kokko sebelum dipindahkan ke Thailand untuk proses penghantaran pulang ke negara masing-masing.
Proses dokumentasi kemudian dilakukan pihak berkuasa Thailand sebelum menghantar proses penghantaran pulang mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
