Konflik Ukraine dan Rusia perlu diselesaikan secara aman

Mohamed Khaled bercakap pada sidang media selepas meninjau persiapan akhir mesyuarat Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di sebuah hotel di Batu Feringhi, pada Selasa. Foto Bernama
Mohamed Khaled bercakap pada sidang media selepas meninjau persiapan akhir mesyuarat Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di sebuah hotel di Batu Feringhi, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini menegaskan pendirian blok serantau itu bahawa konflik antara Ukraine dan Rusia perlu diselesaikan secara aman.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ASEAN sedang memantau secara dekat perkembangan rundingan damai antara kedua-dua negara yang telah dimulakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“ASEAN telah menyatakan bahawa konflik ini boleh diselesaikan secara aman dan ini sememangnya pendirian kita sejak dahulu.

“Kita sedang melihat perkembangan yang dicetuskan oleh Presiden Trump. Diharapkan perkara ini dapat diselesaikan. Saya bercakap bagi pihak ASEAN, bukan Malaysia," katanya pada sidang akhbar sempena Sesi Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Trump mengumumkan bahawa beliau telah berbincang dengan pemimpin dari kedua-dua negara untuk memulakan rundingan damai dan menamatkan perang tiga tahun antara Rusia dan Ukraine.

Mesyuarat Pemukiman ADMM selama dua hari ini menghimpunkan menteri-menteri pertahanan dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN serta negara pemerhati, Timor-Leste.

Mesyuarat ini juga akan diteruskan dengan pertemuan dua hala sempena pemukiman tersebut.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perjanjian gencatan senjata yang rapuh di Gaza, Mohamed Khaled berkata, Malaysia menyokong perjanjian gencatan senjata tersebut dan berharap semua pihak akan terus mematuhinya.

Bagaimanapun, beliau menyatakan kesedaran terhadap pelanggaran gencatan senjata berikutan keengganan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk memenuhi perjanjian yang telah dicapai.

Artikel Berkaitan:

“Bagi pihak Malaysia, pendirian kita jelas. Kita menyokong gencatan senjata dan berharap semua pihak menghormati keputusan gencatan senjata itu.

“Perkara ini adalah antara isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi yang melibatkan ketua-ketua ASEAN yang dijadualkan pada Mei nanti,” tambahnya.

Media melaporkan, beberapa kediaman penduduk Palestin di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza dilaporkan terbakar selepas terkena tembakan tentera Israel pada Isnin.

Menurut saksi, dron dan kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah tengah Rafah, menyebabkan beberapa rumah musnah dalam kebakaran.

Serangan tentera Israel turut dilaporkan di bahagian timur Gaza City, namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

Serangan baharu itu berlaku meskipun perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan telah dikuatkuasakan bulan lalu, yang menghentikan serangan ganas Israel yang mengorbankan lebih 48,300 nyawa dan memusnahkan Gaza.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!