PRN17: UMNO diyakini mampu kembali jadi kuasa utama politik di Sabah

Suhaimi
Suhaimi
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah diyakini mampu kembali menjadi kuasa utama politik di negeri ini jika semangat perjuangan dapat dibangkitkan semula dan diperkukuh dengan kekuatan jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, untuk kembali ke era kegemilangan tersebut, UMNO Sabah kini sudah bersiap sedia untuk menjadi parti dominan di negeri ini.

"Saya menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menegaskan bahawa UMNO-BN Sabah harus kembali menjadi parti dominan di negeri ini.

"Kenyataan ini bukan sekadar aspirasi, tetapi satu seruan perjuangan yang mesti kita sahut dengan penuh keyakinan dan kesungguhan

"UMNO-BN Sabah pernah menjadi tunjang politik di negeri ini, membawa kestabilan dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat. Kita yakin bahawa dengan kebangkitan semula semangat perjuangan, kekuatan jentera parti, serta sokongan rakyat, kita mampu mengembalikan kegemilangan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau turut menegaskan, PRN17 bakal menjadi titik penting dalam perjuangan UMNO-BN Sabah.

"Jadi inilah masanya untuk kita mengorak langkah dengan lebih kukuh, memperkukuh akar umbi dan meyakinkan rakyat bahawa UMNO-BN masih merupakan wadah terbaik untuk membela kepentingan mereka.

"Jentera parti di seluruh Sabah sedang giat digerakkan dan saya yakin dengan kesatuan serta semangat juang yang tinggi, UMNO-BN akan kembali sebagai kuasa utama politik Sabah," katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Libaran itu berkata, UMNO Sabah tidak akan berundur atau goyah kerana perjuangan mereka adalah demi rakyat dan negeri Sabah yang dicintai.

Artikel Berkaitan:

"Kepada semua ahli dan penyokong UMNO-BN, ini adalah masa untuk kita bangkit bersama.

"Dengan kekuatan akar umbi, pengalaman kepimpinan dan hala tuju yang jelas, kita akan kembali sebagai parti dominan di Sabah, UMNO-BN Sabah tidak akan pernah mengalah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!