X

Kindly register in order to view this article
!

Lima pelajar di Kelantan terbaik STPM peringkat nasional

Mohamad (tiga dari kiri) bersama barisan pegawai melihat keputusan STPM yang cemerlang bagi negeri Kelantan.
A
A

KOTA BHARU - Kelantan mencatatkan rekod pencapaian lima pelajar terbaik peringkat nasional dengan meraih kecemerlangan lima prinsipal A pada keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sini hari ini.

Mereka ialah Nur Izzati Mat Rodhi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus Bachok dan Siti Aishah Mz Rozalan dari SMK Ayer Lanas Jeli.

Tiga lagi dari SMK Tengku Panglima Raja Pasir Mas iaitu Siti Nazira Sakiam, Fatin Nur’Izzati Md Azmi dan Mohamad Hafiza Ismail.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohamad Abd Wahab berkata, mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam lima mata pelajaran yang diduduki termasuk Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Pengajian Perniagaan, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Ekonomi dan Geografi.

“Pencapaian mereka amat membanggakan kerana ada yang datang daripada keluarga sederhana seperti Nur Izzati yang merupakan anak kepada pengawal keselamatan dan tukang sapu.

“Siti Aishah pula anak kepada buruh binaan dari sekolah luar bandar manakala Siti Nazira pula bapanya menoreh getah. Mereka kini berada di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPP) Selayang, Selangor untuk menerima penghargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengumuman Keputusan STPM Tahun 2019 di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan di Bandar Baru Tunjong di sini hari ini.

Selain itu, Mohamad berkata, seramai 68 pelajar meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dengan mendapat semua A berbanding 59 pelajar tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 26 pelajar memperoleh semua A bagi lima mata pelajaran yang diduduki manakala 39 lagi memperoleh empat prinsipal A kesemuanya PNGK 4.0.

“Keseluruhan PNGK negeri menurun 0.04 mata daripada 2.98 tahun lalu kepada 2.94 tahun ini, namun peratusan kelulusan keseluruhan meningkat sebanyak 0.09 peratus iaitu 99.57 peratus atau 3,677 pelajar berbanding 99.48 peratus atau 3,417 pelajar,” katanya.

Tambah beliau, pencapaian PNGK bagi Sekolah Bantuan Kerajaan mencatat jumlah 2.94 mengatasi 0.17 pencapaian peringkat nasional sebanyak 2.77.

“Lebih membanggakan apabila pencapaian sekolah luar bandar di negeri ini juga seiring dengan sekolah bandar hasil pendekatan guru, pentadbir, kementerian, jabatan, pejabat pendidikan daerah yang mengadakan latihan dan pengkhususan menjurus kepada kecemerlangan,” katanya.