Projek perumahan baharu bernilai RM156 juta untuk TUDM

Mohamed Khaled (dua dari kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM9.2 juta kepada Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brigedier Jeneral Khairol Muzambi Salehin.
Mohamed Khaled (dua dari kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM9.2 juta kepada Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brigedier Jeneral Khairol Muzambi Salehin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebuah projek perumahan baharu bernilai RM156 juta akan dibina untuk pegawai, anggota dan keluarga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Butterworth di sini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan berita gembira itu semasa lawatan kerja rasmi pertamanya ke Pangkalan Udara Butterworth pada Isnin.

Menurutnya, tender bagi projek tersebut akan dibuka tahun ini dan ia dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan.

“Kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan projek perumahan baharu untuk tentera udara di sini.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesejahteraan keluarga tentera sementara mereka berjuang mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, projek baharu itu akan merangkumi 164 unit pelbagai kelas.

"Salah satu fokus Kerajaan Perpaduan adalah untuk meningkatkan kebajikan rakyat. Kita bersyukur kerana ia turut diperluaskan kepada anggota tentera. Kita tahu mereka sudah lama memerlukan penambahbaikan, peningkatan dan pembaikan.

“Adalah penting untuk memastikan anggota yang bertugas menjaga keselamatan negara tidak terganggu disebabkan keadaan tempat tinggal mereka yang kurang selesa, yang boleh menjejaskan keselamatan keluarga mereka.

“Atas sebab itu, kita bersyukur kepada kerajaan kerana buat pertama kali dalam Belanjawan 2023, kerajaan menyediakan peruntukan besar untuk penyelenggaraan perumahan tentera. Ia diteruskan sehingga tahun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Khaled berkata, bagi kementeriannya tahun ini, sebanyak RM420 juta telah diperuntukkan untuk semua 90 kem di seluruh negara.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM9.2 juta untuk penyelenggaraan unit perumahan sedia ada di Pangkalan Udara Butterworth serta RM21 juta lagi untuk menggantikan paip lama.

"Peruntukan itu adalah untuk kerja-kerja pembaikan atau pembesaran unit sedia ada bagi memastikan keselesaan yang lebih baik.

“Ini sangat penting kerana kita menghargai sumbangan anggota tentera yang melindungi kita demi memastikan keselamatan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!