15 pelari lepasi ujian ultra maraton 400km

Seramai 15 peserta meraikan kejayaan menamatkan larian ultra maraton sejauh 400km di Gombak dan Janda Baik, Bentong.
Seramai 15 peserta meraikan kejayaan menamatkan larian ultra maraton sejauh 400km di Gombak dan Janda Baik, Bentong.
A
A
A

SATU ujian ketahanan fizikal dan mental yang keras serta kuat.

Begitu cabaran yang diharungi 21 peserta, namun 15 pelari membuktikan keunggulan mereka selepas berjaya menamatkan larian ultra maraton jalan raya sejauh 400 kilometer (km).

Saingan Route 68 Ultra yang berlangsung di Gombak itu turut mencatat sejarah sebagai jarak terpanjang kejohanan sejak diperkenalkan sedekad lalu.

Cabaran ekstrem yang ditawarkan sempena ulang tahun ke-10 Route 68 Ultra itu memberi pelari tempoh 120 jam untuk menamatkan larian, bermula jam 9 pagi di perkampungan Orang Asli, Gombak pada Selasa.

Laluan tersebut membawa pelari merentasi kawasan berbukit dan hutan menghijau dengan stesyen pemeriksaan di Genting Sempah, Bukit Tinggi dan Janda Baik.

Mereka juga perlu melakukan pendakian dengan ketinggian keseluruhan 6,144 meter (m).

Daripada 21 peserta yang memulakan perlumbaan, 15 berjaya menamatkan cabaran, iaitu David Christopher, Law Chor Kin (Hong Kong), Andy, Grace Lim, Lim Sai Hee, Sugeng Asianto Muryono dan Chrissy Kha Khrang (Myanmar).

Turut berjaya menamatkan saingan ialah Carly Balmforth (Great Britain), Azairul Azmanizaman Abdollah, Azmi Harris, Jenny Elisabeth Holloway (Sweden), Masri Panjang Adni, Lau Kai Wen, Wong Wai Seng dan Chong Teik Loong.

David mencatat masa terpantas 65 jam, 33 minit dan dua saat, manakala Chong Teik Loong menamatkan larian pada 118:26:00, hanya beberapa minit sebelum had masa berakhir.

Artikel Berkaitan:

“Saya sudah berlari jarak jauh selama 12 tahun, jadi ini adalah antara acara terbesar di Malaysia.

“Saya ingin lakukannya bukan sekadar untuk pencapaian peribadi, jadi saya memutuskan untuk menjadikannya sebagai usaha mengumpul dana kebajikan haiwan,” kata David yang berjaya mengumpul RM120,000 setakat ini.

Meskipun belum pernah berlari sejauh itu sebelum ini, David tetap yakin mampu menamatkan perlumbaan.

“Saya hampir pasti akan habiskan dalam tempoh 120 jam kerana ada banyak masa. Lebih penting, sistem kutipan dana yang saya buat ini akan menggandakan jumlah sumbangan sekiranya saya tamatkan larian penuh.

“Janji tertinggi ialah RM10 setiap kilometer, jadi untuk 400km itu, jumlahnya RM8,000 selepas digandakan. Jadi saya tak boleh ‘DNF’ (Tidak Menamatkan Perlumbaan),” katanya.

Malah lebih mengagumkan jurutera mekanikal berusia 43 tahun itu tidak berhenti selepas melengkapkan larian 400km.

Dia membuat keputusan mengejut untuk menyertai perlumbaan 100km yang bermula Sabtu dan menamatkannya dalam masa 13:47:33, menduduki tempat ke-21 daripada 143 peserta.

“Saya tahu laluan perlumbaan ini sedikit kurang daripada 400km. Jadi, saya mahu pastikan saya benar-benar capai jarak itu.

“Ketika larian pemulihan pada pagi Sabtu, saya rasa sangat baik dan terlintas di fikiran, ‘Bolehkah saya bantu kutipan dana ini lebih tinggi nilainya?” katanya.

Dalam pada itu, pelari wanita terbaik dalam cabaran 400km ialah Grace Lim, 42, yang menamatkan larian dengan masa 81:41:59, keempat terpantas keseluruhan.

Pemegang rekod Malaysia untuk larian berterusan terpanjang di atas treadmill (226km dalam 46 jam) itu mengakui cabaran kali ini lebih mencabar.

“Ini pertama kali saya melakukan larian sejauh ini. Sebelum ini, jarak paling jauh saya hanya 270km. Saya tidak sangka boleh catat masa sebegini. Latihan saya benar-benar membantu. Saya berlatih bersungguh-sungguh sepanjang Januari, hampir 800km dalam sebulan,” katanya.

Beliau juga mengakui pengurusan tidur menjadi faktor penting untuk bertahan.

“Saya tidur kira-kira lapan jam sepanjang perlumbaan. Cabaran utama adalah cuaca panas, kelembapan tinggi dan hujan lebat,” ujar Grace.

Route 68 Ultra tahun ini menyaksikan 680 pelari dari 17 negara bertanding dalam enam kategori – 250km, 168km, 100km, 84km, 50km dan 30km.

Bagi kategori baharu 250km yang diperkenalkan tahun ini, lima daripada 13 peserta berjaya menamatkan perlumbaan dengan Firdaus Asnan muncul juara (40:22:19).

Dalam kategori utama 168km, Jason Tan (18:23:40) dan Chai Yee Ling (25:22:44) masing-masing dinobatkan juara lelaki serta wanita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!