6 sekeluarga cemas disamun kumpulan warga asing bertopeng di Sepang

SEPANG - Enam sekeluarga berdepan detik cemas apabila disamun sekumpulan warga asing bertopeng serta bersenjatakan parang dalam kejadian di kawasan perumahan Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan kira-kira jam 5.03 pagi berkaitan kejadian.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama lima ahli keluarganya yang lain serta seorang pembantu rumah.
"Siasatan mendapati rumah mangsa di pecah masuk melalui pintu belakang pada jam 3.30 pagi dan suspek terlibat dipercayai mengikat salah seorang mangsa.
"Suspek tidak mencederakan mangsa sebelum bertindak melarikan barangan peribadi membabitkan wang tunai dan barangan kemas mengakibatkan kerugian sekitar RM5,000," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan penjenayah ini terdiri daripada warga asing yang bergerak secara berkumpulan.
"Kesemua suspek ini dipercayai antara dua hingga tiga individu dan melakukan samun menggunakan parang.
"Kumpulan penjenayah ini dipercayai menyasarkan rumah yang berhampiran dengan kawasan hutan serta berpakaian berwarna gelap dan bertopeng ketika melakukan jenayah," katanya.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang awam dinasihatkan untuk tampil memberikan maklumat kepada polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor B Sathiyan di talian 013-2060771 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-87774222 dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

