At-Ta'alim perkukuhkan institusi pendidikan Islam

LUMUT - Lebih dua dekad mengharungi cabaran membina institusi pendidikan Islam, At-Taalim kini meraikan sambutan Jubli Perak di Kompleks Pendidikan At-Ta'alim dekat Lekir, Jumaat lalu.
At-Ta'alim yang dibangunkan pada tahun 1998 merupakan institusi pendidikan swasta di daerah Manjung menawarkan pengajian dari peringkat sekolah rendah hingga pra-universiti.
Pengetua Sekolah Menengah Agama At-Ta'alim, Badrul Hisyam Baharuddin berkata, institusi itu menawarkan silibus integrasi yang disepadukan dengan aliran perdana oleh Kementerian Pendidikan serta Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).
"Bermula dengan hanya 44 murid dan empat guru yang ditempatkan tiga kelas sebuah rumah kediaman di Seri Manjung, kini At-Ta'alim memiliki kompleks sendiri hasil sumbangan semua pihak termasuk ibu bapa pelajar.
"Saban tahun kita menerima permintaan murid dan pelajar termasuk dari luar negeri seperti Selangor dan Kedah berikutan mempunyai rekod cemerlang hingga pernah menjadi bualan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Lebih 700 tetamu hadir memeriahkan majlis makan malam amal sempena sambutan Jubli Perak At-Taalim. Turut dihadir, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Mengulas lanjut, Badrul Hisyam berkata, pihaknya merancang untuk membuka sebuah maahad tahfiz At-Ta'aim dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Sekarang kita ada lapan pelajar di kelas tahfiz yang dikendalikan dua guru di Pondok Integrasi Tahfiz di sini dan mungkin Tahun 2030, aliran yang mengaplikasikan tiga sukatan utama iaitu tahfiz, akademik dan addiniah ini akan dibangunkan menjadi sekolah sendiri.
"Berbekalkan pengurusan sedia ada demi melahirkan pelajar yang berilmu, beriman dan bertakwa, kita akan bangunkan sekolah berkenaan yang mana sebuah tapak telah diwakafkan bagi tujuan tersebut," katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubunginya di talian 014-244 0793 atau menyalurkan terus sumbangan ke akaun 08030002179719 (Bank Muamalat) atas nama Sekolah Menengah Agama At-Taalim.
Jelas Badrul Hisyam, pihaknya juga telah memohon kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menjadikan institusi itu sebagai pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Kita memberi peluang kepada pelajar pondok dan tahfiz lain untuk belajar dan mengambil SPM. Kita baru sahaja memohon kepada JPN untuk dijadikan pusat peperiksaan calon persendirian dan PPD menerima perkara ini dengan positif.

"Selain itu, ada juga yang mencadangkan kita untuk mewujudkan kelas aliran sains berikutan pelajar kita turut berminat mengikutinya namun, perkara itu masih dalam perbincangan," ujarnya.
Badrul Hisyam berkata, sepanjang penubuhan At-Ta'alim, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada PPD Manjung, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Kumpulan Karangkraf yang banyak membantu.
Sementara itu, bekas pelajar, Khairunnisa' Mohd Tharin, 29, turut berkongsi rasa bangga menjadi sebahagian daripada institusi itu dan kini berjaya menggalas jawatan sebagai Guru Bimbingan Kaunseling di Selangor.
"Memulakan pengajian di Tingkatan 1 pada tahun 2009, At-Ta'alim memberi peranan besar dalam pembentukan sahsiah diri hasil didikan ustaz dan ustazah di sini. Inilah kekuatan At-Ta'alim.
"Sesi pembelajaran di sini tidak jauh beza dengan aliran perdana di sekolah harian lain dan saya bersyukur sepanjang pembelajaran agama, saya dapat meningkatkan kemahiran berbahasa Arab dengan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
