Fun Walk: Peserta, peniaga sokong kempen Rasuah Busters

KLANG - Acara Fun Walk sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan yang diadakan di Laman Seni Safari di sini mencipta kelainan apabila peserta dan peniaga kedai makan bergambar bersama poster pelekat Rasuah Busters.
Program anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) disertai kira-kira 500 peserta itu secara tidak langsung turut menyuntik elemen kesedaran mengenai pentingnya memerangi rasuah dalam masyarakat.
Orang Besar Daerah Klang, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, poster yang dibawa bersama pada acara itu mengingatkan masyarakat tentang perlunya tindakan bersama untuk membanteras rasuah.
"Kita bukan sekadar melakukan aktiviti Fun Walk bagi menjalani kehidupan sihat semata-mata, tetapi membawa mesej penting melalui poster Rasuah Busters sebagai satu bentuk kesedaran yang boleh membantu menyebarkan mesej integriti kepada masyarakat," katanya ketika ditemui pada Ahad.
Beliau menjelaskan, usaha membanteras gejala rasuah bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tetapi juga masyarakat keseluruhannya.

"Kami berharap dapat menyampaikan mesej kepada semua orang termasuk peniaga dan pelanggan bahawa rasuah tidak ada tempat dalam kehidupan kita," jelas beliau.
Bagaimanapun, Mohammed Khusrin memberitahu, kempen itu perlu dilaksanakan secara berterusan bagi menyedarkan semua masyarakat.
"Dari peringkat keluarga, institusi pendidikan hingga ke tempat kerja, kita perlu menanamkan prinsip tindakan rasuah adalah salah dan merosakkan struktur masyarakat.
"Individu yang berpegang pada nilai ini akan lebih cenderung untuk menolak tawaran rasuah dan berusaha untuk melakukan yang terbaik tanpa mengorbankan prinsip moral," tegas beliau.
Sementara itu, Pengurus Perhubungan Strategik, Rasuah Busters, Wan Normi Hasan berkata, pihaknya menyerahkan poster Rasuah Busters kepada kedai dan restoran yang disinggahi.
Beliau memberitahu, poster itu diserahkan sendiri Mohammed Khusrin yang turut mengetuai acara Fun Walk sepanjang tiga kilometer itu.

"Peniaga makanan akan tampal poster tersebut sebagai menyahut seruan kebersamaan antirasuah untuk misi kempen Malaysia Bangkit Perangi Rasuah yang dibawa oleh Rasuah Busters.
"Ia memberi peluang kepada kedai dan restoran menunjukkan komitmen mereka dalam menyokong kempen tersebut," jelas Wan Normi.
Katanya, MBDK adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor yang menjadi rakan gabungan Rasuah Busters sejak tiga tahun lalu dan kemudiannya disertai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada tahun lalu.
"Program ini mendapat sambutan yang sangat baik dan kerjasama bersama MBDK ini akan diteruskan untuk program akan datang," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

