Sheraton Imperial tawar pengalaman baharu, inap dan teroka tarikan sekitar KL

KUALA LUMPUR - Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur memperkenalkan pakej penginapan istimewa 'Rediscover Sheraton Imperial' yang bukan sahaja menawarkan bilik baharu, tetapi juga pengalaman unik meneroka pelbagai tarikan sekitar hotel tersebut.
Pengarah Pemasaran dan Penjualan Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Shaidatul Nurfairuze A Rashid berkata, menerusi pakej itu tetamu bukan sekadar menikmati penginapan yang selesa namun dapat melakukan pelbagai aktiviti seperti jalan-jalan cari makan dan mengenali budaya setempat.

Menurutnya, pakej ini ditawarkan sehingga 30 Jun 2025 menjadikannya pilihan ideal untuk mereka yang ingin bercuti sempena cuti sekolah atau menyambut Ramadan dan Aidilfitri di Kuala Lumpur.
"Kami ingin menjadikan pengalaman menginap akan lebih bermakna buat tetamu hotel. Ini kerana, ia bukan sekadar menawarkan penginapan bertaraf lima bintang tetapi juga memberi peluang kepada mereka menikmati keunikan persekitaran hotel termasuk restoran dan kedai baharu di sekitar kawasan ini.
"Sebagai contoh, hanya menyeberangi jalan tetamu boleh memilih lebih daripada 30 restoran yang menawarkan pelbagai jenis makanan termasuk masakan Jepun, Perancis, Sri Lanka, Indonesia, dan makanan tempatan. Mereka juga boleh mengunjungi butik batik yang berdekatan dengan hotel kami.

"Antara keistimewaan lain ialah tetamu yang menempah penginapan akan menerima 'booklet' baucar eksklusif termasuk diskaun untuk restoran dan kafe berdekatan selain kredit makanan RM70 di hotel," ujarnya.
Tambah Shaidatul Nurfairuze, Hotel Sheraton Imperial terletak di tengah bandar Kuala Lumpur dan mempunyai 398 bilik.
Jelasnya, tetamu boleh menikmati panorama ibu kota dari tingkat atas hotel dan ada beberapa bilik yang memaparkan pemandangan menarik seperti KL Tower, Tun Razak Exchange (TRX) dan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

"Dari segi harga, pakej ini menawarkan kadar fleksibel yang bergantung kepada tarikh tempahan,"ujarnya.
Sementara itu beliau turut memberitahu, pihaknya sentiasa berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Kumpulan Karangkraf memandangkan syarikat tersebut sangat aktif mengadakan pelbagai program kemasyarakatan.
"Pendekatan tersebut sama dengan kami. Contohnya, Karangkraf ada mengadakan majlis berbuka puasa percuma kepada orang ramai manakala kami bergiat aktif dalam memberi juadah kepada gelandangan.

"Banyak lagi persamaan lain, itu yang membuatkan kami akan terus berkolaborasi dengan Karangkraf pada masa hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

