Polis Sri Lanka kenal pasti 58 kumpulan jenayah, 1,400 ahli

Priyantha Weerasooriya. Foto Agensi
Priyantha Weerasooriya. Foto Agensi
A
A
A

COLOMBO - Polis Sri Lanka pada Sabtu mengesahkan bahawa mereka telah mengenal pasti 58 kumpulan yang terlibat dalam jenayah terancang serta kira-kira 1,400 ahli mereka, lapor Xinhua.

Pemangku Ketua Polis Negara (IGP), Priyantha Weerasooriya dalam satu sidang media berkata, bahawa tahun ini sahaja, sebanyak 22 orang terbunuh akibat kegiatan kumpulan jenayah itu, dengan 17 ditembak dan lima lagi dibunuh menggunakan senjata tajam.

Beliau turut mendedahkan bahawa 11 orang termasuk anggota polis dan tentera, sama ada yang masih berkhidmat atau bekas anggota ditahan kerana mempunyai kaitan dengan insiden jenayah.

Antara yang ditahan termasuk dua anggota polis, seorang anggota tentera, seorang anggota tentera udara dan tujuh bekas tentera yang melarikan diri daripada perkhidmatan.

Jenayah terancang terus menjadi isu utama di Sri Lanka dan kerajaan berikrar untuk memperhebat usaha membanteras kegiatan jenayah.

Kerajaan juga mengumumkan rancangan untuk merekrut 10,000 pegawai polis bagi menangani jenayah, mengurangkan kemalangan jalan raya dan meningkatkan keselamatan awam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!